Nasrudin: SMS Harakah timbulkan kekeliruan

Ketua Dewan Pemuda PAS Nasrudin Hassan berharap ahli-ahli PAS tidak salah faham dengan SMS Harakah yang menyebut beliau mengumpamakan perbincangan PAS-Umno sebagai "usaha berdakwah Nabi Musa kepada Firaun".

nasrudin hassan tantawi pas youth leader interview 160609 03"Diharapkan pembaca dan ahli (PAS) tidak salah faham dan (boleh) memahami maksud sebenar saya.

"Yang lain itu soal teknikal saya dengan Harakah," katanya, yang juga ahli lembaga pengarah organ PAS itu.

Khamis lalu, dengan memetik wawancara Nasruddin dengan Malaysiakini, media rasmi parti menghantar mesej SMS yang berbunyi:

"Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan umpamakan perbincangan PAS-Umno itu satu usaha berdakwah Nabi Musa kepada Firaun, bukan bertujuan sertai Umno."

Sehubungan itu, Nasrudin, yang turut melanggan perkhidmatan SMS itu, membuat penjelasan di blognya Episod Sebuah Perjuangan (http://episodeperjuangan.blogspot.com) pada hari yang sama.

Ahli minta penjelasan

Dalam blognya itu, Nasrudin berkata, SMS Harakah tersebut menimbulkan kekeliruan berikutan isu kerajaan perpaduan yang sedang hangat dibicarakan.

"Saya rasa tidak adil jika wawancara lebih sejam bersama wartawan Malaysiakini, hanya dirumus seringkas empat atau lima baris ayat sahaja.

"Sebenarnya saya bukan bercakap soal perbincangan PAS-Umno, tetapi saya sedang bercakap mengenai prinsip dakwah yang dibawa oleh PAS," tulis Nasrudin.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Nasrudin berkata beliau menjelaskan hal tersebut dalam konteks dakwah dan tidak membawa maksud soal pandangan dan kerjasama PAS-Umno.

Katanya, terdapat di kalangan ahli dan pemimpin PAS yang meminta penjelasannya berhubung perkara itu kerana "nampak salah".

"Nabi Musa berjumpa Firaun bukan hendak berunding, tetapi berdakwah," katanya.

Bagaimana ustaz menilai Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ketua pembangkang dan pemimpin yang menonjol dalam Pakatan Rakyat?

Beliau salah seorang tokoh politik yang dihormati dan mencipta nama, terutamanya selepas (gelombang) Reformasi (selepas dipecat September, 1998). Walaupun ada pro dan kontra terhadap keperibadian dan kredibilitinya sebagai seorang pemimpin, tetapi mahu tidak mahu kita harus akui, beliau mempunyai kredibiliti tertentu untuk dilantik dan dipilih sebagai ketua pembangkang.

Peranan yang paling besar perlu beliau mainkan adalah memastikan parti-parti dalam Pakatan berkembang dan menyaingi BN – itu memang menjadi harapan umum dan harapan rakyat keseluruhannya.

Dengan masalah peribadinya? Kesnya akan didengar di mahkamah awal bulan depan. Adakah ini akan menggugat kerjasama dalam Pakatan?

nasrudin hassan tantawi pas youth leader interview 160609 02Setakat ini, kita melihat dari sudut momentum rakyat sejak dizalimi pada era awal reformasi, kes (liwat) yang dialami ini tidak akan menjejaskan kredibiliti beliau.

Sebab dapat kita lihat, bahawa penganiayaan dan kezaliman Umno-BN itu lebih ke depan. Orang tidak fokus apa yang dipolemikkan terhadap peribadi Datuk Seri Anwar, tetapi orang akan melihat kepada Umno dan BN yang bertindak ke atas Anwar.

Jadi dalam isu ini, bila-bila pun, orang akan pergi ke (kesimpulan) situ. Sehingga ada ungkapan, oleh kerana terlalu zalim dan jahatnya Umno dan BN ini, setiap satu atau dua kebaikannya akan tenggelam begitu sahaja.

Kebaikannya (Umno-BN) kita tidak nafikan (sebagai) satu kebaikan. Tetapi ia akan tenggelam kerana begitu besarnya kezaliman yang dilakukan (Umno-BN) sebelum ini.

Jika beliau didapati bersalah, apabila beliau tidak dapat bersama Pakatan? Adakah ia menggugat kerjasama dalam Pakatan? Orang melihat DAP dan PAS sangat jauh ideologinya, berbeza dengan Anwar yang dilihat berada tengah-tengah. Jadi bagaimana Pakatan dalam situasi seperti itu?

Kalau kita lihat hari ini, sistem kehakiman itu sendiri sering dipertikai. Kalau kita lihat dalam keputusan mahkamah yang melibatkan (kemelut politik) negeri Perak, misalnya, juga gagal diterima secara bulat oleh rakyat. Jadi, apa pun yang dilakukan Umno dan BN sekarang ini tidak menjadi satu kebaikan atau keuntungan bagi mereka.

Takdir, katakanlah, dengan saya menyebut semoga dijauhkan Allah (perkara ini), semoga tidak jadi begitu. Takdir, katakanlah, mahkamah mensabitkan kesalahan (terhadap Anwar) sekalipun, saya rasa sukar untuk diterima oleh rakyat. Kerana ketelusan institusi kehakiman gagal dipulihkan kerajaan Umno-BN.

Sebab itu, tuntutan kita supaya mereka memulihkan institusi kehakiman dan badan-badan lain seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan seumpamanya.

Inilah isu pokoknya. Jika di situ (pemulihan institusi) tidak selesai, selama-lamanya orang melihat sama ada Datuk Seri Anwar, atau sesiapa pun, hanya mangsa kepada kezaliman Umno dan BN.

Dulu Tun Abdullah Ahmad Badawi, perdana menteri sebelumnya, cuba melakukan reformasi dalam sebahagian bidang ini. Bagaimana ustaz melihatnya?

Saya melihat apa yang dilakukan Pak Lah tidak sampai. Dan (Datuk Seri) Najib (Razak) dilihat tidak berjaya meneruskannya. Tambahan, Najib sendiri diselubungi pelbagai fitnah, dakwaan (negatif) atas dirinya yang gagal dibersihkannya.

Kalau dirinya sebagai perdana menteri dipertikaikan integritinya, bagaimanana institusi dan kementerian di bawah kepimpinannya dilihat mempunyai integriti? Walaupun ia (reformasi) pernah dicuba pada zaman Pak Lah sebelum itu, usaha Pak Lah saya lihat tidak banyak tercapai.

Dengan gambaran negatif yang diberikan terhadap Umno-BN bawah kepimpinan Najib, bagaimana konteks idea muzakarah, dialog dengan Umno? Secara prinsipnya, bagaimana ustaz melihat isu ini?

Ia berasaskan prinsip dakwah. Oleh kerana kita (PAS) adalah gerakan Islam, kita sentiasa menganggap diri kita pendakwah untuk menyampaikan risalah kepada sesiapa sahaja, sekaligus Umno dan BN yang kita akui sebuah parti atau kerajaan yang salah dan zalim. Atau lebih tepat, bertentangan dengan dasar Islam itu sendiri.

Sejahat mana pun mereka, kita tidak boleh meninggalkan mereka (dalam dakwah). Kita mesti sampaikan dakwah ini hingga ke depan pintu rumah mereka. Soal mereka hendak terima atau tidak, itu soal hidayah daripada Tuhan.

Tetapi tugas dan tanggungjawab kita (PAS) menyampaikan risalah Islam kepada mereka, beritahu dasar perjuangan kita kepada mereka dan beritahu apa yang kita mahu memberi sumbangan kepada pembangunan negara, ekonomi, politik, bahkan sosial dan agama itu sendiri.

nasrudin hassan tantawi pas youth leader interview 160609 01Kita diperintahkan oleh Allah menyampaikan dakwah Islam secara bijaksana dengan mengambil kira kaedah, kepelbagaian dan seumpamanya. Kedua, kita juga menyampaikan nasihat-nasihat yang tidak jemu kita berikan melalui khutbah, kuliah dan memorandum. Begitu juga dialog, debat atau apa saja ruang yang kita boleh sampaikan risalah kita.

Misalnya bagaimana Allah menghantar Nabi Musa berdepan dengan Firaun, di depan raja yang zalim, kenapa kita berhalangan mengambil sunnah yang sama untuk membawa risalah ini kepada mereka (Umno)?

Sebaik-baik kalimah adalah di depan sultan yang zalim. Sampai ke depan pintu pemerintah yang zalim kita mesti pergi. Jadi, saya kira tidak menjadi halangan untuk kita berunding, berbincang, berdialog (dengan Umno).

Cuma saya hendak menghapuskan persepsi yang menyatakan rundingan itu bertujuan menyertai (Umno – seperti isu yang berbangkit saat ini). Berunding tidak bermakna menyertai. Berunding, berbincang atau berdialog – itu bermaksud mengajak mereka memahami dasar perjuangan.

(Pandangan) itu secara prinsipnya, ustaz. Selain ceramah, akhbar, Parlimen, kita lihat jarang sekali diadakan dialog misalnya antara Dewan Pemuda PAS dan Pemuda Umno. Jadi, adakah ustaz akan menerokai bidang-bidang ini?

Ya, insya Allah, saya akan melibatkan (diri) lebih aktif. Ini yang saya kata, kita akan melibatkan ruang-ruang baru, usaha-usaha baru yang kita akan lakukan.

PAS selama ini memang mengambil sikap (mahu) engagement dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun ini terhadap bukan Islam dan NGO. Kenapa bagi Umno dan BN, saya lihat amat terkebelakang? Bagaimana hendak menggalakkan dakwah kalau pertemuan pun tidak ada? Mungkin orang mempertikaikan kalau ada rundingan tertutup (PAS-Umno), timbul misteri, ragu-ragu dalam dan luar parti, tetapi forum terbuka ini...

Ya, saya melihat (forum terbuka) itu juga satu keperluan sekarang. Cuma kita sedang memikirkan mekanismenya. Di sana kita melihat kekangan dan manipulasi media. Apabila kita buat terbuka, ada pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang mengambil pendekatan memanipulai isu atau perbincangan tersebut. Kita akan cuba melihat dan kita akan mula bergerak ke arah itu.

Berbalik kepada isu kerajaan perpaduan, dari segi prinsipnya, ustaz secara peribadi melihatnya bagaimana?

Pada 11 Jun yang lalu, PAS pusat telah mengadakan mesyuarat. Dan kita telah mengambil satu persefahaman atau keputusan untuk menghentikan polemik isu kerajaan perpaduan sehinggalah satu muzakarah politik diadakan di peringkat parti.

Maknanya, satu mekanisme yang diambil oleh parti untuk menyelesaikan masalah atau untuk mengambil tindakan lanjut ekoran idea yang dilontarkan Presiden (PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang). Muzakarah itu (nanti) akan dibincang secara lumat dari pelbagai aspek - dari segi hukumnya (kerajaan perpaduan), kesesuaian politik dan sebagainya.

Selepas itu, barulah presiden akan membuat pengisytiharan, apa langkah (PAS) seterusnya. Buat masa ini, (kerajaan perpaduan) hanyalah gagasan idea, pemikiran atau ijtihad politik Datuk Seri presiden dan ia terbuka kepada perbincangan.

Isu ini akan terus dihadapkan kepada PAS dan Dewan Pemuda mesti menjawab banyak kali persoalan yang sama. Barangkali juga isu yang sama akan diketengahkan pada pilihanraya kecil Manek Urai. Ustaz melihat bagaimana, perkara ini diteruskan atau terus berkata tidak ada?

Apabila ia telah menjadi keputusan parti di peringkat pusat (selepas muzakarah), maka seluruh kepimpinan (di semua peringkat) seharusnya mendukung keputusan yang sama. Dan saya yakin, kalau semua mendukung keputusan yang sama dan serupa, maka isu ini boleh diselesaikan.

Tinggal lagi, kita tidak bertanggungjawab dengan mainan media musuh yang mewakili Umno dan BN, sebagai contoh, yang pastinya mengambil seluruh ruang dan kesempatan memainkan isu ini.

Tetapi isu ini juga didorong oleh (kenyataan) beberapa pimpinan parti (PAS) yang...

Itulah yang saya kata, jika sekiranya seluruh kepimpinan itu mendukung keputusan yang dicapai itu, insya Allah segalanya selesai.

Jadi seolah-olah ada pergeseren yang terbuka (di kalangan pemimpin atasan PAS)?

Saya sebut tadi, (kerajaan perpaduan) ini adalah gagasan pemikiran yang terbuka kepada perbahasan. Saya tidak anggap (perbezaan) itu satu pergeseran, itulah wacana perbahasan yang kita maksudkan tadi.

Cuma, mungkin perbahasan itu perbahasan yang hangat dan terbuka, bukan diprogramkan secara khusus dalam majlis. Ada perbahasan yang kita khususkan, ada formatnya, ada skemanya. Bahkan ada perbahasan terbuka di kedai kopi, Dewan Rakyat dan seumpamanya.

Ahli-ahli dan pemimpin Dewan Pemuda PAS sendiri melihat bagaimana (isu kerajaan perpaduan)?

nasrudin hassan tantawi pas youth leader interview 160609 04Saya positif. Saya melihat apabila wujudnya perbahasan begitu, ia membentuk kematangan. Selagi kita memahami perbahasan merupakan percambahan fikiran, bukan dibaca sebagai satu perbalahan dan pergeseran. Sebab itu, kita kena berlapang dada, bertolak ansur dan tenang dalam mengurus apa jua polemik, barulah kita matang.

Tidak timbul kegelisahan di kalangan ahli-ahli PAS sendiri?

Ahli PAS, saya yakin, dalam tempoh yang panjang bersama PAS, mereka dididik untuk mendengar kata pemimpin. Mereka dididik untuk mengikut kata pemimpin. Mungkin selepas muzakarah politik (dalam PAS) nanti, apabila pemimpin memberi kata putus, saya bercaya ia boleh selesai.

(Kerjasama) ini bukan baru (kepada PAS), sudah banyak kali. Sebelum ini berlaku dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU), kemudian Barisan Alternatif. (Kerjasama) ini semua siri-siri ijtihad politik. Apabila berlaku ijtihad politik, sedikit sebanyak berlakulah pergolakan atau perbahasan terbuka.

Di situ, pihak yang tidak bertanggungjawab mensensasikan dan melaga-lagakan tokoh-tokoh tertentu, bergolak buat seketika. Tetapi apabila dibuat keputusan dalam muktamar, saya percaya ahli akan bertaut kembali.

Maksudnya muqabalah (dengan Umno) dan isu kerajaan perpaduan ini tidak akan memecahkan parti?

Tidak, walaupun ia hangat dari segi perbahasan. Jika sekiranya pemimpin bijak dan tepat mengambil tindakan, saya nampak ia tidak ada masalah.

Di kalangan pemimpin Pakatan pula bagaimana? Sebabnya, kalau ustaz beri contoh APU, ia tidak kekal lama, begitu juga Barisan Alternatif. Apabila timbul isu ini, apakah Pakatan akan retak?

Saya tak bolehlah nak jawab bagi pihak orang lain. Tetapi saya percaya, melalui sekretariat (Pakatan) yang akan kita bentuk nanti, kita boleh memberikan penjelasan dan duduk bersama untuk menyelesaikan isu berbangkit ini secara harmoni.

Saya lihat apa pun yang berlaku, kuncinya salah faham, atau kegagalan kita menyampaikan maklumat dengan tepat dan (kegagalan) menyelesaikan isu secara harmoni. Jadi, kalau kita boleh pulihkan isu, insya Allah banyak masalah boleh selesai.

Jadi, banyak masalah dalam Pakatan selama setahun ini, sebahagian masalah salah faham?

Itu antara faktor utama, sebab kita tidak ada satu sekretariat yang betul-betul menyelaraskan ketiga-tiga (parti) ini. Sebab itu, dalam muktamar ini, Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menimbulkan supaya diwujudkan sekretariat khas. Sebelum ini ada, tetapi tidak berkala. Cuma di peringkat majlis presiden (Pakatan).

0 komen mengomen :: Nasrudin: SMS Harakah timbulkan kekeliruan

Introduction

Aku hanya insan biasa yang ingin berkongsi sedikit ilmu dan buah fikiran. "Ballighu anni walau ayat" "wazakkir fainnna zikra tanfaul mukminin" InsyaAllah.

LinkWithin

.

Al-Faqir

My photo
Nama Muhammad Al-Amin Hj Salleh. Dilahirkan di Kluang, Johor. Kemudian dibesarkan di Kulai, Johor sebelum berhijrah ke Kuala Terengganu selama 10 Tahun. Kini menetap di Bandar Seri Putra, Kajang, Selangor. Saya sekarang merantau ke bumi Anbiya' Mesir untuk menuntut dengan para Ulama'. Mengambil jurusan di Jabatan Syariah & Undang-undang, Kuliah Syariah Islamiah, Uni. Al-Azhar, Kaherah, Mesir. Moga pelaburan yang Ibu & Ayah lakukan ini akan berjaya menjadi saham didunia dan akhirat. InsyaAllah. Perantau di Bumi Allah. Johor - Terengganu - Selangor - Mesir

Followers