Halal Judi : Kerajaan Mahu Jadi Tuhan?

Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum w.b.t.

Isu judi telah mengundang kemarahan umat Islam di Malaysia khususnya kerana kerajaan telah mengeluarkan lesen perjudian sempena kejohanan bola sepak piala dunia yang bakal berlangsung atau dengan kata lain menghalalkan perbuatan yang diharamkan oleh Allah s.w.t. Sama seperti kerajaan mahu menjadi tuhan bila mahu mengatasi apa yang dilarang oleh Allah s.w.t. Tuhan yang menciptakan dunia dan seisinya.



Terjemahan daripada artikel di dalam Kitab al Halal Wal Haram, karangan Dr Yusof al Qaradhawi yang bertajuk "Allah sahaja yang berhak menghalal, atau mengharamkan"

Islam telah menetapkan bahawa satu-satunya kuasa yang berhak menghalal dan mengharamkan sesuatu itu adalah kuasa Allah semata-mata. Tidak kira betapa tingginya darjat seseorang tersebut di dalam agama Allah, ataupun dari sudut pandangan manusia, ia tetap hak Allah SWT semata-mata.

Ia bukanlah hak orang cendekiawan atau ahli ugama, bukan juga milik raja atau sultan, untuk mereka menentukan sesuatu itu haram selama-lamanya kepada mana-mana manusia. Maka, sesiapa yang melakukan demikian, bermakna dia telah melampaui batasan hak Allah SWT di dalam mengatur syariat bagi semua makhluk.

Bahkan, sesiapa yang mengakui bahawa mereka berhak untuk mengatur syariat, dan orang ramai mengikutinya, seolah-olah dia telah menjadikan aturan mereka tersebut sebagai tandingan bagi Allah, dan mereka yang mengikutinya turut dikatakan sebagai syirik.

Allah SWT berfirman

Adakah patut bagi mereka, mempunyai sembahan-sembahan selain daripada Allah yang menyusun syariat di dalam agama, dengan sesuatu yang tidak diizinkan oleh Allah? (Surah asy Syura : 21)

Al Quran mengkritik golongan ahli kitab yang telah memberikan kekuasaan untuk menghalal dan mengharamkan kepada golongan-golongan cerdik (pendeta), dan ahli-ahli ugama dari kalangan mereka. Allah SWT berfirman

Mereka menjadikan pendeta-pendeta dan ahli-ahli ugama mereka sebagai pendidik-pendidik selain daripada Allah, dan juga (mereka mempertuhankan) al Masih anak Maryam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa. Tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Maha Suci Allah dari apa yang yang mereka sekutukan (Surah at Taubah : 31)

Seorang sahabat Nabi SAW, ‘Adiy bin Hatim telah datang berjumpa Baginda SAW (beliau adalah penganut agama Nasrani sebelum Islam). Ketika mana beliau mendengar Nabi SAW membacakan ayat 31 Surah at Taubah tersebut, beliau berkata :

“Wahai Rasulullah, mereka bukanlah menyembah benda-benda (cendekiawan dan ahli ugama) tersebut”

Lalu Baginda SAW menjelaskan

“Benar apa yang kamu katakan. Sesungguhnya mereka telah mengharamkan apa yang dihalalkan ke atas mereka, dan mreka juga menghalalkan apa yang diharamkan, lalu mereka mengikut sahaja syariat sesat tersebut. Maka perbuatan ini dikira penyembahan terhadap benda-benda tersebut”

Di dalam riwayat lain, bahawa Nabi SAW bersabda untuk mentafsirkan ayat 31, Surah at Taubah dengan berkata :

“Sekiranya mereka tidak dikatakan menyembah benda-benda tersebut, akan tetapi apabila benda-benda tersebut menghalalkan sesuatu perkara, mereka juga turut menghalalkannya. Begitu juga apabila benda-benda tersebut mengharamkan sesuatu perkara, mereka juga turut mengharamkannya.

Sebelum ini telah diceritakan tentang tanggapan orang kristian bahawa syariat itu berhak diatur oleh orang-orang mereka, bahkan ia bercanggah dengan al Quran. Orang Nasrani masih beranggapan bahawa Nabi Isa AS memberi kebenaran sepenuhnya kepada anak-anak muridnya untuk menghalal atau mengharamkan sesuka hati mereka.

Sepertimana yang telah diceritakan di dalam Injil Mathew 18:18

“Satu kebenaran yang aku beritahu kepadamu, iaitu semua perkara yang berkaitan dengan urusanmu di dunia, ia juga sepertimana di langit. Dan setiap perkara yang kamu halalkan di dunia, ia juga dihalalkan di langit”

Demikianlah sepertimana yang Islam kritik terhadap golongan yang mensyirikkan Allah. Mereka mengharam dan menghalalkan sesuatu perkara tanpa keizinan daripada Allah SWT. Allah SWT berfirman

Katakanlah (kepada kaum yang mengada-adakan sesuatu hukum) : “Sudahkah kamu nampak baik buruknya sesuatu yang diturunkan Allah untuk manfaat kamu itu sehingga dapat kamu jadikan sebahagian daripadanya haram, dan sebahagian lagi halal?” Katakanlah kepada mereka : “Adakah Allah izinkan bagi kamu berbuat demikian, atau kamu hanya mengada-adakan secara dusta terhadap Allah?” (Surah Yunus : 59)

Allah SWT berfirman

Dan janganlah kamu berdusta dengan sebab apa yang disifatkan oleh lidah kamu : “Ini halal dan ini haram”, untuk mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah; sesungguhnya orang-orang yang berdusta terhadap Allah tidak akan berjaya (Surah an Nahl : 116)

Berdasarkan ayat ini, dan hadis yang telah disebutkan sebelum ini, Fuqaha telah mengemukakan satu pengetahuan yang meyakinkan, iaitu

“Sesungguhnya Allah sahajalah empunya kuasa untuk menentukan sesuatu itu halal atau haram di dalam al Quran, atau melalui lidah rasul-rasulNya”

Sesungguhnya peranan fuqaha’ dan ulama’ itu tidak melanggar hukum-hukum Allah di dalam menghalal atau mengharamkan sesuatu. Allah SWT berfirman

Allah SWT telah menerangkan kepada kamu apa yang diharamkanNya ke atas kamu (Surah al An’am : 119)

Fuqaha’ bukanlah berperanan untuk mengatur syariat agama bagi manusia tentang perkara yang dibenarkan ataupun tidak, sebaliknya mereka bersama-sama ulama’-ulama’ dan ijtihad-ijtihad mereka berusaha mengelakkan diri daripada mengeluarkan fatwa. Bahkan mereka lebih suka menyerahkan sesuatu permasalahan kepada ulama’ lain kerana mereka khuatir terhalalkan sesuatu yang haram, dan terharam sesuatu yang diharamkan.

0 komen mengomen :: Halal Judi : Kerajaan Mahu Jadi Tuhan?

Introduction

Aku hanya insan biasa yang ingin berkongsi sedikit ilmu dan buah fikiran. "Ballighu anni walau ayat" "wazakkir fainnna zikra tanfaul mukminin" InsyaAllah.

LinkWithin

.

Al-Faqir

My photo
Nama Muhammad Al-Amin Hj Salleh. Dilahirkan di Kluang, Johor. Kemudian dibesarkan di Kulai, Johor sebelum berhijrah ke Kuala Terengganu selama 10 Tahun. Kini menetap di Bandar Seri Putra, Kajang, Selangor. Saya sekarang merantau ke bumi Anbiya' Mesir untuk menuntut dengan para Ulama'. Mengambil jurusan di Jabatan Syariah & Undang-undang, Kuliah Syariah Islamiah, Uni. Al-Azhar, Kaherah, Mesir. Moga pelaburan yang Ibu & Ayah lakukan ini akan berjaya menjadi saham didunia dan akhirat. InsyaAllah. Perantau di Bumi Allah. Johor - Terengganu - Selangor - Mesir

Followers