Biarkan Amal Mengikut Ilmu Bukan Nafsu

"Kalau boleh kan, hari ni nak baca 2, 3 juzuk, eh khatam terus la al-Quran, nak Solat Dhuha, solat witir, baca buku-buku ilmiah dan zikir dan bla.. bla.. bla.."

Selalu kita bermonolog menginginkan hari-hari yang kita lalui penuh dengan ibadah. Namun bukan semudah seperti yang kita monologkan. Hakikatnya, sekejap sahaja ia mampu bertahan sekiranya kita tidak terus melaksanakan apa yang kita niatkan.

Kerana semua yang kita inginkan itu adalah nafsu, bukan berdasarkan ilmu. Kerana nafsu selalu menginginkan tetapi payah untuk melaksanakan. Berbeza dengan ilmu, kerana ilmu kita akan beramal semata-mata kerana Allah, setiap langkahan dan tarikan nafas, walaupun ia payah namun jika dengan ilmu kita tidak mudah ditewaskan.

Kerana sesungguhnya nafsu mudah dipengaruhi syaitan, sedangkan syaitan takut kepada mereka yang berilmu.

Aku petik kalam daripada Ust Syukri,

“ Ilmu itu untuk diamalkan”

Mudah benar kalam ini untuk diungkapkan oleh lidah yang tidak bertulang. Bila diterjemahkan kepada tindakan, ramai yang gagal untuk melakukannya. Syaitan dan nafsu antara yang menjadi penghalang.

Bila hati meniatkan untuk melakukan amalan kebaikan, perasaan malas dan jemu mula menguasai diri. Kadang-kadang, hidup hanya ditipu oleh api semangat yang mudah sangat untuk terpadam. Biasalah, syaitan sengaja memanaskan nafsu untuk sementara waktu sehingga manusia merasakan keinsafan telah lahir dari jiwanya. Padahal, semua itu adalah pakaian syaitan untuk mengelakkan manusia dari terbias dengan cahaya dan petunjuk Tuhan.

Allah Taala Maha Mengetahui akan hakikat hambaNya. Setiap amalan akan dinilai di sisiNya. Tiada guna ketaatan saat Allah Taala memurkainya. Tiada mudarat kemaksiatan apabila Allah Taala mengampuninya.

Jiwa yang sedang mencari keikhlasan dalam amalan. Suatu permata yang sukar untuk ditemui dalam lubuk hati ini.

“ Bertakwalah kepada Allah, nescaya Allah Taala mengajarmu…”

Begitulah bunyi ayat al-Quran yang sentiasa meniti di bibir para ulama’ murabbi. Sepanjang berada dalam kelas pengajian, apabila menyentuh bab yang berkaitan dengan ilmu, inilah ayat yang disebut-sebut oleh para masyayeikh. Teori yang dilemparkan ini cuba untuk dilumatkan dalam hati dan fikiran. Payah betul untuk jadikan teori ini satu amali. Kecuali bagi hamba yang dilimpahi dan dinaungi rahmat dari Ilahi.

Diri ini sangat merindui rahmat dariNya. Biarlah cahaya rahmat dari Allah Taala menjadi pemandu hidup di saat manusia diselubungi dengan jutaan perkara yang sangat meragukan. Keraguan yang sengaja ditimbulkan supaya manusia tersesat jalan. Kadang-kadang menuju utara, kadang-kadang ke selatan. Tidak tahu manakah sebenarnya arah tujuan.

Hati ini sebenarnya sangat rindu untuk istiqamah dan ikhlas apabila melakukan sesuatu amalan. Mohon sungguh-sungguh supaya dijauhkan dari dimasukkan dalam golongan yang rugi lantaran terpedaya dengan amalan keburukan yang disangka kebaikan. Akhirnya, kerugian ini membawa kepada kecelakaan di akhirat yang kekal abadi, nauzubillah min zalik.

“ Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati-hati kami di atas keimanan dan ketaatan kepadamu. Wahai Tuhan, janganlah Engkau palingkan hati kami setelah mana Engkau kurniakan hidayah kepada kami dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisiMu, sesungguhnya Engkau Maha Pemberi Kurnia, amin….”

0 komen mengomen :: Biarkan Amal Mengikut Ilmu Bukan Nafsu

Introduction

Aku hanya insan biasa yang ingin berkongsi sedikit ilmu dan buah fikiran. "Ballighu anni walau ayat" "wazakkir fainnna zikra tanfaul mukminin" InsyaAllah.

LinkWithin

.

Al-Faqir

My photo
Nama Muhammad Al-Amin Hj Salleh. Dilahirkan di Kluang, Johor. Kemudian dibesarkan di Kulai, Johor sebelum berhijrah ke Kuala Terengganu selama 10 Tahun. Kini menetap di Bandar Seri Putra, Kajang, Selangor. Saya sekarang merantau ke bumi Anbiya' Mesir untuk menuntut dengan para Ulama'. Mengambil jurusan di Jabatan Syariah & Undang-undang, Kuliah Syariah Islamiah, Uni. Al-Azhar, Kaherah, Mesir. Moga pelaburan yang Ibu & Ayah lakukan ini akan berjaya menjadi saham didunia dan akhirat. InsyaAllah. Perantau di Bumi Allah. Johor - Terengganu - Selangor - Mesir

Followers