Mahasiswa Al-Azhar dipaksa Nikah!!

KANGAR: “Jika tak mahu ditimpa kejadian buruk, kami dipaksa bersetuju anak kami dikahwinkan dengan anak perempuannya,” kata seorang lelaki yang mendakwa anak lelakinya, penuntut sebuah universiti di Mesir, dilari dan dikurung seorang guru silat untuk dipaksa berkahwin dengan anak gadisnya.

BUKTI...Mohd Fuzi, menunjukkan laporan polis berhubung kehilangan   Firdaus.
BUKTI...Mohd Fuzi, menunjukkan laporan polis berhubung kehilangan Firdaus.
Mohd Fuzi Mohd Zain, 57, mendakwa guru silat berkenaan turut menetapkan tarikh pernikahan pelajar terbabit dengan anak gadisnya berusia 24 tahun, esok.

Menurut Mohd Fuzi, anaknya, Mohd Firdaus Mohd Fuzi, 27, pelajar Jurusan Usuluddin dari Universiti Al-Azhar, pulang ke tanah air untuk cuti semester sebelum gagal dikesan sejak 15 hari lalu selepas berkunjung ke rumah guru silat berkenaan di Padang Besar, dekat sini.

“Kami gagal menghubungi Firdaus dan tidak tahu di mana dia berada. Namun, kami percaya dia disembunyikan guru silat berkenaan,” katanya yang tinggal di Taman Melati, Setapak, Kuala Lumpur.

Mohd Fuzi berkata, dia dan isteri (Jamiah Hamid) bergegas ke Perlis dan berjumpa guru silat berkenaan untuk mencari Firdaus namun kecewa apabila lelaki berusia 50-an itu enggan menyatakan di mana anak mereka berada.

“Sebaliknya, dalam pertemuan itu dia mengajak kami membincangkan urusan perkahwinan Firdaus dengan anak gadisnya yang ditetapkan pada 1 Ogos.

“Saya terkejut besar apabila dimaklumkan anak saya akan dikahwinkan dengan anak gadisnya kerana sebelum ini Firdaus tak pernah menyebut mengenai perkahwinan walaupun mempunyai kenalan wanita ketika menuntut di Mesir,” katanya ketika ditemui bersama sepupunya, Ahmad Mustapa di sini, semalam.

Kata Mohd Fuzi, sudah banyak kali dia menghubungi Firdaus menerusi telefon bimbitnya, tetapi tidak dijawab dan hingga kini tidak mengetahui kedudukan sebenarnya

“Firdaus anak sulung daripada lima beradik dan dia amat rapat dengan keluarga, terutama ibunya dan sering meluahkan perasaan kepada ibunya apabila menghadapi masalah. Saya dan keluarga kini bimbang dengan keselamatan Mohd Firdaus.


“Setakat ini, saya tak pernah lihat wanita yang bakal menjadi menantu saya serta status sebenarnya, sama ada janda atau dara. Fikiran saya bercelaru memikirkan nasib Firdaus, malah isteri saya sering menangis kerana tak bertemu anak sulungnya sejak 15 hari lalu,” katanya.

Mohd Fuzi membuat dua laporan berhubung kehilangan anak lelakinya itu di Balai Polis Arau pada 27 Julai dan semalam.

Laporan pertama dibuatnya berhubung kehilangan anaknya ketika hadir di rumah Ahmad iaitu bapa saudara Firdaus di Rancangan Perumahan Awam (RPA) Kangar, di sini.

Laporan kedua pula berhubung ugutan dan paksaan untuk berkahwin diterimanya apabila bertemu guru silat berkenaan di Mata Ayer dekat sini pada 15 Julai lalu.

Menurutnya, Firdaus pernah menuntut di Institut Pengajian Tinggi Islam Perlis (IPTIPs) di Beseri, dekat sini, sebelum melanjutkan pelajaran ke Mesir dan mengenali guru silat berkenaan.

Katanya, Firdaus perlu menghabiskan pengajian peringkat ijazah selama setahun lagi di Mesir, bermula November ini dan dia bercadang melanjutkan pelajaran peringkat sarjana di universiti tempatan.

“Guru silat itu mengugut menyatakan ada pemuda sudah gila apabila menolak berkahwin dengan anak gadisnya dan berulang kali menyatakan jangan salahkan dia jika berlaku kejadian buruk terhadap Firdaus,” kata Mohd Fuzi

aminmenulis : Sama-samalah kita doakan keselamatan sahabat kita di Malaysia.

Sumber

0 komen mengomen :: Mahasiswa Al-Azhar dipaksa Nikah!!

Introduction

Aku hanya insan biasa yang ingin berkongsi sedikit ilmu dan buah fikiran. "Ballighu anni walau ayat" "wazakkir fainnna zikra tanfaul mukminin" InsyaAllah.

LinkWithin

.

Al-Faqir

My photo
Nama Muhammad Al-Amin Hj Salleh. Dilahirkan di Kluang, Johor. Kemudian dibesarkan di Kulai, Johor sebelum berhijrah ke Kuala Terengganu selama 10 Tahun. Kini menetap di Bandar Seri Putra, Kajang, Selangor. Saya sekarang merantau ke bumi Anbiya' Mesir untuk menuntut dengan para Ulama'. Mengambil jurusan di Jabatan Syariah & Undang-undang, Kuliah Syariah Islamiah, Uni. Al-Azhar, Kaherah, Mesir. Moga pelaburan yang Ibu & Ayah lakukan ini akan berjaya menjadi saham didunia dan akhirat. InsyaAllah. Perantau di Bumi Allah. Johor - Terengganu - Selangor - Mesir

Followers