Lawak Pecah Perut: Peniaga Karipap Rugi RM56.89juta Sebab BERSIH

3 komen mengomen
Kuala Lumpur, 10 Julai – Para peniaga di sekitar Kuala Lumpur hari ini mendakwa mereka kerugian hampir mencecah RM 40 billion gara-gara perhimpunan haram BERSIH semalam.

Makcik Ros, seorang peniaga karipap mendakwa beliau kerugian kira-kira RM 56.89 juta selepas perniagaan terpaksa ditutup bagi mengelakkan bertembung oleh peserta perhimpunan haram BERSIH.

”Selalunya Makcik buka jam 8 pagi dekat Central Market, tutup jam 12 tengah hari dengan jualan purata RM 30 juta hari biasa, dan RM 50 juta hari minggu”, kata Makcik Ros dengan nada kecewa kepada wartawan PemudaGombak.com.

Manakala seorang penjaja aiskrim, En Din Yasin, merungut jualannya merosot mendadak daripada RM 7 billion setiap hari, tetapi semalam hanya RM 68.90 sahaja.

Selalunya pada hujung minggu ramai kanak-kanak akan membeli aiskrim miliknya, tapi semalam ia berkurangan.

”Saya amat marah kepada BERSIH”, kata En Din Yasin dengan nada tegas.

“Selalunya jualan kami mencecah RM 37 juta sehari, tapi hari ini terpaksa makan sendiri sahaja…”, kata Kak Ros dan Pak Jib ketika membuat sidang media selepas BERSIH.
Peniaga cendol, Pak Jib pula hampir sama ceritanya, beliau menganggarkan kerugian yang dialami semalam kira-kira RM 65 juta untuk cendol biasa, RM 38 untuk cendol special serta RM 96 untuk cendol aiskrim.

”Semalam saya tidak berani untuk membuka gerai cendol saya di Puduraya”, kata Pak Jib kesedihan.

Sementara itu, Persatuan Peniaga Roti Canai Kuala Lumpur (PERCOKAI) Encik Ebrehem Alikatak berkata, setakat laporan yang diperoleh lewat petang semalam, anggaran kerugian penjaja-penjaja roti canai seluruh Kuala Lumpur dianggarkan RM 28 billion.

”Ia adalah anggaran sahaja untuk roti canai biasa, dan tidak termasuk roti telur, roti sardin, roti tirai, roti pelempang dan lain-lain”, kata Encik Ebrehem Alikatak sambil menepuk meja dan menjegilkan mata ke arah wartawan PemudaGombak.com

Catatan Seorang Cina, harus baca. Terharu.

3 komen mengomen

Seorang pakcik yang berkopiah menuju ke arah saya, "Di manakah stadium?" Saya menuding jari ke depan. Lantas beliau berjalan ke arah sana, tanpa sebarang keraguan. Saya merasakan diri saya amat tidak berguna pada ketika itu. Mengapa tidak saya bertindak sebagaimana pakcik itu? Berarak adalah hak kita. Mengapa pula saya takut? Saya tetap berdiri di situ, menyaksikan bagaimana orang tua itu dihalang polis, dan kemudian beliau terus berjalan ke depan.

Kemudian saya berjalan, dan terserempak dengan seorang polis muda. Beliau bertanya untuk apa saya berada di situ, saya sekadar jawab, tak ada, cuma jalan-jalan. Beliau menunjuk ke arah Jalan Sultan, mengarahkan saya beredar dari situ, atau saya akan ditangkap. Saya tahu beliau cuba menakutkan saya. Masih awal lagi, saya tidak mahu timbul hal, maka saya pun beredar.

Saya nampak sekumpulan orang di kedai KL Commercial Book Co., semacam orang PAS, maka saya berjalan menuju ke arah mereka. Pada hakikatnya, saya amat yakin dengan mereka. Saya rasa diri saya berselindung di dalam kelompok mereka pada ketika itu. Ya, saya rasa sangat selamat.

Pada kira-kira jam 12.20 tengah hari, kelompok di sini hanya kira-kira 20 orang. Tiba-tiba kami dengar jeritan orang, dan kami bergegas ke situ dan mendapati kira-kira 2,000 orang. Mereka muncul entah dari mana, sungguh ajaib! Tapi kami masih menganggap bilangan ini terlalu sedikit!

Pada kira-kira jam 12.30 tengah hari, saya tak berapa ingat lagi. Kami nampak sekumpulan manusia menuju ke arah kami melalui Jalan Sultan, sambil melaungkan slogan. Bilangan mereka terlalu ramai berbanding kami. Ramai orang tua yang bertanya, PERKASA? Pemuda UMNO? Kami berdiri di situ dan memandang, gagal mendengar apakah yang dilaungkan.

Tiba-tiba, ada yang bertepuk tangan, berkata "Tengok, Cina ada, India ada, bukan PERKASA, bukan Pemuda UMNO, orang kita!" Kami bertepuk dengan gemuruh, berarak ke arah mereka untuk berkumpul bersama. Kami seolah-olah dapat membentuk pasukan kami, dan tidak lagi keseorangan atau kesepian.

"BERSIH! BERSIH! Hidup BERSIH!" Ribuan yang membanjiri Jalan Sultan. Orang berada di tengah dan di tepi jalan, warga tua dan warga muda. Maka kami terus berjalan, tidak memasuki jalan ke arah Stadium Merdeka. Saya sedar, bilangan kami masih tidak mencukupi. Kami menuju ke arah Pudu Raya, dan di situ telah dibanjiri lautan manusia yang lebih daripada 10 ribu.

Abang saya menghantar sms kepada saya, memberitahu bahawa pasukan di Hotel Hilton telah mula bertolak. Dengan serta-merta saya berkongsi maklumat ini dengan orang yang berada di sisi saya.

Kira-kira jam 1 tengah hari, kami nampak satu pasukan yang lebih besar, kemas sususannya berarak dari arah Hospital Tung Shin. Kemudian, muncul lagi satu pasukan dari Kota Raya. Tidak berhenti kami bertepuk tangan. Kami menjerit sepuas-puasnya. Saya nampak ramai yang menakung air di matanya. Saya amat terharu. Saya kini berada di tengah-tengah belasan, malah puluhan ribu orang. Saya tidak kesepian, kami tidak kesepian!

Terharu kerana dibantu orang yang saya tidak kenal langsung!

Kami berkumpul di depan Menara MayBank. Saya tak dengar apa yang diucap pemidato. Tapi saya hanya seorang penyokong. Saya hanya menyorak bersama kelompok manusia, bertepuk tangan apabila semua orang berbuat demikian.

Kemudian saya mendapati trak FRU. Seorang warga tua, mungkin dari PAS, memesan agar saya undur dahulu. Tidak lama kemudian, FRU melepaskan gas pemedih mata, dan meriam air kimia yang berwarna biru. Saya rasa macam tersengit. Baunya sangat tidak menyenangkan. Orang di sisi saya (sahabat dari kaum lain) menuangkan air ke atas kepala saya. Ada seorang yang menyapu minyak angin di bawah kelopak mata saya. Ada pula yang memberi garam kepada saya.

Saya teringat, air mata saya mengalir pada ketika itu bukan disebabkan gas pemedih mata, tetapi mengalir kerana terharu dengan bantuan yang dihulurkan oleh orang-orang yang saya tak kenal ini.

Pada ketika itu saya nampak polis, kononnya, menangkap orang ramai di depan Menara MayBank. Ramai yang memanjat ke atas di cerun pada mulanya, kemudian mereka melompat dari tembok yang tinggi. Saya sangat marah ketika itu, kerana saya nampak ramai wanita dan warga tua. Dan mereka yang kononnya polis itu dicemuh dalam hati saya, "Bukan manusia!"

Saya berehat seketika. Saya menjangkakan bahawa orang ramai akan menuju ke Jalan Sultan. Maka, saya berjalan dahulu ke arah sana. Apabila berdekatan dengan KFC, hujan mulan turun. Seorang peserta yang tua berkata kepada saya, "Komunis pun tak macam ini!" Saya tercengang seketika, gagal memberi apa-apa jawapan....

Matlamat sama..

Pada sebelah malam, saya dimaklumkan bahawa kawan dari kaum Melayu amat terharu dengan kehadiran kami. Mereka berkata, "Itu kebanggaan kami apabila kamu muncul bersama. Kamu duduk belakang sikit, biar kami yang hadapi peluru (gas pemedih mata) dan keganasan di depan!"

Nota: Akhirnya saya sedar, mengapa saya berselindung dalam kelompok orang PAS. Mereka membuktikan dengan tindakan mereka, itu yang membuatkan saya terharu dan berasa selamat. Lain kali, saya tetap akan bersama mereka, berada di garis depan, untuk menghadapi peluru (gas pemedih mata) dan keganasan.

Terima kasih, sahabat semua. Walaupun kita tidak berkenalan, tapi matlamat kita sama. Dan ini hanya boleh dirasai mereka yang hadir dalam perhimpunan.

Saya menyeru agar lebih ramai bangkit dari tidur, dan mereka yang sudah sedar, biarlah bertindak.

*Tulisan di atas disedut, disunting dan diterjemah daripada catatan seorang pembaca MerdekaReview, edisi bahasa Cina, yang menghadiri perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai 2011. MerdekaReview akan memilih beberapa lagi tulisan untuk diterjemahkan, dan mengalu-alukan tulisan daripada pembaca. Sila email kepada editorial_bm@merdekareview.com. Terima kasih.

Tawaran Aqiqah Di Makkah (Bulan Ramadhan)

0 komen mengomen


(Gambar Kredit kepada Ustaz Azhar Idrus/Digital Mukmin.com)

Tawaran Aqiqah Ramadhan di Mekah 1432H/2011 Harga : RM350/seekor kambing (siap dimasak dan diagih2kan) Berminat/Maklumat Lanjut : Call /SMS - Hj Salleh Farmin: 0179356577
*Penyertaan selewat-lewatnya sebelum 25 July 2011

Gambar Roadtour Bersih 2.0 Rakyat Malaysia di Mesir

5 komen mengomen
Amaran: Post ini bukan politik yer. Cuma berkait rapat dengan hak dan keistimewaan rakyat jelata. Kepada yang tak suka jangan baca.

Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum semua. Huhu.. Sebulan lebih dah rupanya blog ni tak terupdate. Bukan takde isu ataupun cerita yang hendak ditulis, tapi semata-mata untuk memberi laluan kepada peperiksaan akhir bagi semester ni. Mohon doa daripada semua agar aku berjaya dengan cemerlang nanti. amin..

Alhamdulillah, aku baru baik daripada demam je ni. Mungkin sebab banyak sangat dosa, Allah uji masa aku nak imtihan Usul Fiqh baru ni. Memang blur, ditambah pulak dengan cuaca musim panas kat Mesir sekarang ni. Ok, biarkan cerita demam dan imtihan tu. Kebetulan jumpa internet laju. Jadi rasa nak update je blog ni.

Ok, ceritanya seperti dibawah. Sekadar kongsi pengalaman dengan semua, apa yang berlaku di Mesir baru-baru ni. Demam-demam pun aku turun jugak join. Haha.. Semangat nak amik gambar punya pasal. Nak wat camner, dah minat nak jadi journalist la konon-kononnya. So, bace jelah, cerita pendek dan gambar yang tak seberapa kat bawah ni. Sekadar nak meng'update' blog ni bagi bernyawa. Kesian aku tengok, ramai follower, semakin bertambah. Tapi takde cerita aku update. Mintak maaf la semua. hehe...



Roadtour Pra-BERSIH 2.0 Rakyat Malaysia Di Mesir. 2 Julai 2011.
Gambar kat atas ni, yang pakai vest tu adalah President SUARA. Ust Firdaus Madzlan atau lebih mesra dengan panggilan Ust Alang. Masa ni on the way nak ke rumah Melaka. Meriah kan tengok? hehe..

Ok, 2 Julai 2011 baru-baru ni, hampir 50 orang sukarelawan terdiri daripada Rakyat Malaysia di Mesir anjuran Gerakan Suara Rakyat (SUARA) mengadakan roadtour (Sesi Jelajah) ke rumah-rumah negeri di sekitar Kaherah, Mesir.

Sukarelawan ketika berhimpun dihadapan Asrama Rumah Terengganu di Hayyu 10. Mendengar taklimat sebelum memulakan kembara.

Sesi yang bermula di Dataran Rumah Negeri, Hayyu 10, Kaherah, Mesir. Disini menempatkan Asrama Rumah Negeri Kedah, Pahang, Sarawak & Terengganu. Semua dibahagikan kepada 4 kumpulan bagi menyebarkan risalah ke setiap rumah negeri. Setelah hampir 15 minit bergerak dari rumah ke rumah, dari bilik ke bilik. Kami kemudian berarak menuju ke Hayyu 7. Disana, dimana terletaknya Asrama Rumah Kelantan, Perak, Kedah (Rumah Baru), Selangor, Wilayah, Pulau Pinang, Melaka, Negeri Sembilan & Perlis. Manakala Asrama Pelajar Johor di Rabaah tidak sempat untuk diziarahi kerana lokasinya agak jauh di Rabaah. Tetapi sudah ada sukarelawan yang akan kesana.

Amat menarik kerana, kembara menaiki bas beramai-ramai berpakaian kuning. Arab tengok pun terkejut. Ramai-ramai pakai baju kuning menyala. Hehe.. Tapi, kat sini diorang dah biasa dengan orang Melayu. So, takde yang peliknya.


Si comel, adik Iman kalau tak silap namanya ni pun turut sama menjayakan Pra-Bersih 2.0 Rakyat Malaysia di Mesir.

Ok, objektif utama Pra-Bersih 2.0 ini adalah untuk menyebarkan risalah serta mengajak seluruh rakyat Malaysia di Mesir turun beramai-ramai berpakaian kuning pada 5 & 9 Julai 2011 nanti, sebagai tanda sokongan Rakyat Malaysia di Luar Negara bagi menuntut Suruhanjaya Pilihanraya mentransformasikan Sistem Pilihanraya di Malaysia yang dilihat tidak telus dan terdapat kelemahan.

Selaras dengan 8 tuntutan BERSIH yang dilihat tidak menyebelahi mana-mana pihak baik Pembangkang mahupun Kerajaan, tetapi kearah penambahbaikkan sistem pilihanraya negara. Maka, usaha ini patut disokong oleh semua lapisan masyarakat tidak mengira parti politik,kaum dan agama. Selagi mana tuntutan tersebut selaras dengan kehendak Syariat Islam serta mengikut lunas dan perlembagaan negara.

Ok, apa tuntutan BERSIH sebenarnya? Mungkin ramai dah tau dan ada jugak yang tak amik tau. Malas nak layan hal-hal politik tanah air nih. Ok, korang kena tau jugak serba sedikit apa yang BERSIH nak sebenarnya. Sebab, media hari-hari sumbat korang dengan pelbagai cerita, konon BERSIh ni nak jatuhkan kerajaan la, nak merusuh, komunis dan sebagainya. Walhal, kalau tengok apa yang BERSIH tuntut tak sebelah mana-mana pihak pun. Sekadar kearah penambah baikkan sistem pilihanraya yang ada. So, kenapa kerajaan/SPR perlu takut sampai nak tangkap orang yang pakai baju kuning semua?

8 tuntutan BERSIH:

So, lepas korang baca 8 tuntutan ni, ada sebelah mana-mana pihak ke?

Maklumat lanjut dan terkini disini. https://www.facebook.com/pages/Rakyat-Malaysia-di-Mesir-Menyokong-Bersih-20/119073048180213



Roadtour Pra-Bersih 2.0 Rakyat Malaysia Di Mesir. 2 Julai 2011 (Rumah Melaka) Hayyu 7, Kaherah, Mesir. Alhamdulillah, dapat jugak kami masuk bagi risalah ke Rumah Melaka.



Roadtour Pra-BERSIH 2.0 ke Rumah-rumah Negeri Malaysia di Mesir. 2 Julai 2011 (Kelantan) Ni pulak dekat depan Rumah Kelantan.


Risalah/flyers yang disebarkan sempena Pra-Bersih 2.0

InsyaAllah, himpunan BERSIH di Mesir akan diteruskan dengar katanya. Wallahua'lam la. Kita tunggu apa respon daripada pihak penganjur dan aku hormat titah perintah Duli Yang Maha Yang Dipertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin. Jika, himpunan pada 9 Julai ni perlu dibatalkan, aku akur je. Cuma, sebagai rakyat yang ada hak dan kebebasan, aku nak pakai jugak baju warna kuning walaupun takde demonstrasi tanda sokongan dan semangat memulihkan sistem pilihanraya negara kita.

Jangan Cabar Kami!!

1 komen mengomen

"Disaat mahasiswa di Mesir sibuk menumpukan persediaan untuk menghadapi imtihan (peperiksaan), ada pihak yang cuba memberi tekanan dengan tuduhan dan tohmahan yang kurang tepat. Sehingga menggangu fokus dan study mahasiswa untuk menghadapi imtihan. Tindakan sebegini dilihat amat kurang bijak.

Segelintir mahasiswa yang ditemui melahirkan rasa kekecewaan dan kesal terhadap tuduhan yang melulu tanpa asas bukti yang kukuh terhadap mahasiswa disini oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Seluruh mahasiswa di sini melahirkan rasa kebimbangan terhadap situasi ini.

Kami mendesak agar pihak-pihak yang bertanggungjawab tidak hanya mendengar sebelah pihak semata-mata sehingga membuat pertimbangan yang tidak betul dan jelas.

Di antara tuduhan buruk dan tohmahan yang dilemparkan :

Mahasiswa Mesir berkahwin awal

Soal mahasiswa mendirikan rumah tangga sepatutnya dilihat secara adil dan mengambil kira pandangan dalam Islam bukan hanya mengeluarkan pandangan mengikut kehendak nafsu semata-mata.

Apakah menjadi satu kesalahan bagi seseorang mahasiswa untuk berkahwin?? Apakah mereka lebih rela melihat suasana tidak sihat, hubungan bebas tanpa ikatan yang sah berlaku ke atas remaja masa kini?? Sedangkan kita menyaksikan kejatuhan moral remaja kita pada hari ini kian meruncing.

Sesungguhnya Islam telah menganjurkan kepada umatnya untuk mendidirikan rumah tangga adalah bertujuan memelihara maruah dan mengelakkan daripada terjebak dengan maksiat dan perkara mungkar.

Sabda Nabi Muhammad S. A. W yang berbunyi:


«يَا مَعْشَرَ الشَّبَابِ مَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمُ البَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ، فَإِنَّهُ أَغَضُّ لِلْبَصَرِ، وَأَحْصَنُ لِلْفَرجِ، وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِيعْ فَعَلَيْهِ بِالصَّوْمِ، فَإِنَّهُ لَهُ وَجَاءٌ».

رواه البخاري ومسلم


Zaman remaja adalah masa yang terlalu kuat ujian nafsunya. Ianya dikuatkan lagi dengan saranan nabi sebagaimana sabdanya di atas kepada golongan pemuda khasnya untuk berkahwin bagi mengelakkan diri mereka dari gejala maksiat terutama dalam zaman “dunia tanpa sempadan” yang amat mencabar ini.

Mahasiswa menyalahgunakan wang zakat (melancong)

Wang zakat yang diberikan adalah hak penerima untuk mengunakan wang tersebut bagi tujuan keperluan sebagai seorang penuntut ilmu.

Kemungkinan hanya sebilangan kecil sahaja yang melakukan kesalahan sebagaimana yang dituduh itu (melancong ke luar negara) tetapi kenapa seluruh mahasiswa dihukum dengan begitu rupa??? Para mahasiswa sudah mengetahui ke arah mana sepatutnya dibelanjakan wang zakat, kami bukannya anak kecil yang bersekolah tadika. Dan kebiasaan yang menziarahi tempat-tempat bersejarah di Negara lain bukanlah semata-mata melancong ‘buta’ , tetapi adalah untuk mengambil peringatan dan pengajaran dengan kesan-kesan sejarah Islam.

Dari manakah datangnya sumber yang mengatakan mahasiswa-mahasiswa menggunakan wang zakat untuk melancong? apakah mereka mempunyai bukti yang kukuh?atau semata-mata rekaan untuk mengaibkan pelajar-pelajar Mesir? janganlah kerana “nila setitik rosak susu sebelanga”.

Adakah mereka tahu ada dalam kalangan mahasiswa yang terpaksa mengikat perut sehingga ada yang terpaksa berhutang kerana ketiadaan wang?? Wang zakat pula dilambat-lambatkan untuk dibahagikan dan terpaksa melalui proses saringan dan kelulusan yang amat menyusah dan menyeksakan pelajar.

Sedangkan Islam memperuntukkan wang tersebut kepada “asnaf fisabilillah” untuk memudahkan mereka menuntut ilmu. Tidakkah itu mencukupkan syarat bagi kami menerima hak kami? Kini sistem baru yang menghukum pelajar-pelajar yang mengulang dalam pelajaran dan lebih daripada empat tahun dikurangkan zakatnya kepada RM2000 atau kurang setahun. Anda semua cuba fikirkan dan bayangkan, dari satu aspek, memang tindakan itu untuk memberi semangat dan galakan untuk pelajar gigih berusaha, tapi dari sudut lain?tidakkah tindakan itu menyusahkan para pelajar?bagaimana pelajar hendak menumpukan perhatian kepada pelajaran sekiranya asyik memikirkan soal kewangan yang tidak mencukupi dan ada sebahagian yang berniaga untuk menyara kehidupannya di sini memandangkan harga barang sekarang kian meninggi.

Berfikirlah sebelum melontarkan pandangan dan buatlah kajian yang mendalam sebelum membuat keputusan…jangan hanya mendengar sebelah pihak begitu sahaja.

Mahasiswa tidak menyambut kehadiran pegawai dari Malaysia

Bagaimana mungkin kami boleh menyambut kehadiran pegawai atau tetamu dari Malaysia sedangkan kehadiran mereka tidak pernah dimaklumkan oleh pegawai Hal Ehwal Pelajar(HEP) Terengganu di Mesir (Encik Ahmad Kamal Abdullah) kepada mahasiswa disini???

Apa masalah pegawai….

Kami ingin mendesak kepada pihak terbabit supaya lantikan pegawai HEP Terengganu di Mesir kepada Encik Ahmad Kamal Abdullah (Bekas Adun Umno Sura, Dungun. Terengganu) ditarik balik atau beliau sendiri meletakkan jawatannya.

Sepanjang lantikan beliau, beliau banyak menyusahkan mahasiswa disini. Kami diajar supaya tidak berpolitik namun beliau sendiri berpolitik dan bekerja secara tidak profesional sebagai penjawat awam.

Pejabat HEP Terengganu yang berada di Asrama Pelajar Kompleks Darul Iman, Mesir sepatutnya dibuka 5 hari seminggu tidak berfungsi dengan baik. Keadaan ini merumitkan lagi mahasiswa untuk berurusan. Bukan setakat itu sahaja, beliau dikatakan lebih banyak menghabiskan masa diluar pejabat dan pulang ke malaysia daripada berada dalam pejabat HEP. Dan sehingga waktu ini, beliau masih lagi di Malaysia dan kami tidak tahu, tugasnya di sini untuk menjaga kebajikan pelajar atau apa? Tugas si ‘ayah’ sepatutnya memberi galakan dan semangat tatkala anak-anak mereka ingin menghadapi imtihan, tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Tugas sebagai pegawai yang disandang beliau tidak wajar diteruskan lagi kerana tiada kebertanggungjawaban dalam menjalankan amanah sebagai penjawat awam.

Seharusnya pihak kerajaan memandang serius terhadap penjawat awam yang bermasalah seumpama ini kerana ia boleh menjatuhkan imej kerajaan Negeri sebagaimana slogan yang dilanungkan “Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan”.

Harapan kami…

Sebenarnya banyak lagi tuduhan yang telah dilemparkan kepada mahasiswa di mesir adalah hasil dari laporan dan maklumat yang tidak tepat. Dan kami tidak akan berdiam diri demi mempertahankan maruah kami!

Kenapa perlu mengambil pandangan dan maklumat dari sebelah pihak sahaja yang dilihat tidak adil dan kalian adalah pekerja kerajaan dan seharusnya bersikap professional.

Perlu diingat juga, sebenarnya mahasiswa di mesir bukan hanya cemerlang dalam akademik tapi mereka masih memiliki moral dan akhlak yang baik.

Janganlah kerana dendam politik seluruh mahasiswa dipersalahkan dan menjadi mangsa pengkhianatan hak. Kesungguhan dan pengorbanan mahasiswa dalam menuntut ilmu tidak pernah pula diberi penghargaan.

Kami sangat kecewa terhadap pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang telah melemparkan tuduhan tanpa kajian dan penelitian yang jelas, betul dan tepat.

Ingatlah kuasa yang kita ada bukan untuk selama-lamanya kerana kelak nanti kita akan menyesal. Konsep dosa dan pahala yang diajar oleh Islam juga tidak harus dilupakan.

Peringatan ini bukanlah untuk menjatuhkan mana-mana pihak akan tetapi sebagai satu nasihat sebagaimana anda memberi nasihat kepada kami. Oleh itu, terimalah dengan hati yang terbuka tanpa perasaan dendam yang kesumat.

Jazakumullah…

Tulus Ikhlas daripada:

Mahasiswa Islam, Cairo. "

Dipetik dari Tranungkite.net

aminmenulis: Dalam fatrah/musim untuk fokus imtihan, tiba-tiba isu zakat ini timbul sekali lagi. Kepada pegawai, CEO Zakat Maidam, dan semua yang terlibat. Ingat, duit itu bukan duit kamu, duit rakyat yang membayar zakat untuk diberikan kepada asnaf dan mereka yang berhak! Ingat, kalau kamu berlagak duit itu kamu punya, menyusahkan mereka yang berhak daripada menerimanya, kamu ingatlah, sesungguhnya kami telah dizalimi, ingatlah bahawa doa orang yang dizalimi tiada hijab dengan Allah.

Kamu tunggulah balasan dan laknat daripada Allah kerana zakat ada suatu yang besar dalam Islam, salah satu rukun Islam. Jika kamu ingin mempermain-mainkannya kerana sentimen politik sempit kamu itu, tunggulah balasan dan azab daripada Allah. Kamu sudah mempermainkan hukum Allah dan hak kepada penerimanya (manusia) Kamu perlu mohon ampun kepada Allah dan mohon ampun kepada manusia. Jika yang dizalimi tak memaafkan kamu. Ingatlah di akhirat nanti kamu perlu mencari kami dicelah-celahan lautan manusia itu.

Aku dah malas nak cakap benda ni. Kalau berani mari berbincang dengan kami, kenapa dalam pertemuan tak pernah nak benarkan kami bertanya soalan? Kenapa kamu takut sangat kalau kamu betul? Kenapa tak pernah berbincangan dengan pelajar kalau tidak dengan persatuan sekalipun.

INGAT!! KAMU SEKADAR PEMEGANG AMANAH, DUIT ITU BUKAN MILIK MAIDAM, BUKAN MILIK CEO, BUKAN MILIK PEGAWAI, TETAPI MILIK ALLAH YANG PERLU KAMU SERAHKAN KEPADA PENERIMANYA.

Introduction

Aku hanya insan biasa yang ingin berkongsi sedikit ilmu dan buah fikiran. "Ballighu anni walau ayat" "wazakkir fainnna zikra tanfaul mukminin" InsyaAllah.

LinkWithin

.

Al-Faqir

My photo
Nama Muhammad Al-Amin Hj Salleh. Dilahirkan di Kluang, Johor. Kemudian dibesarkan di Kulai, Johor sebelum berhijrah ke Kuala Terengganu selama 10 Tahun. Kini menetap di Bandar Seri Putra, Kajang, Selangor. Saya sekarang merantau ke bumi Anbiya' Mesir untuk menuntut dengan para Ulama'. Mengambil jurusan di Jabatan Syariah & Undang-undang, Kuliah Syariah Islamiah, Uni. Al-Azhar, Kaherah, Mesir. Moga pelaburan yang Ibu & Ayah lakukan ini akan berjaya menjadi saham didunia dan akhirat. InsyaAllah. Perantau di Bumi Allah. Johor - Terengganu - Selangor - Mesir

Followers