Berita dari Jeddah

8 komen mengomen
Bismillah. Alhamdulillah, masuk hari ni adalah hari ke 6 saya berada di bumi Jeddah, di Kompleks Tabung Haji, Madinatul Hujjaj. Maaf kerana tidak dapat mengemaskini berita dan info terbaru sepanjang keberadaan disini. Keterbatasan ruang dan akses internet yang perlahan kerana terpaksa berkongsi dengan ribuan pelajar-pelajar Malaysia yang lain. Maka, atas faktor itu membuatkan saya tidak dapat mengemaskini berita-berita terkini.

Apapun, semua pelajar Malaysia disini berada dalam keadaan selamat dan aman. Bukan sekadar cukup, tetapi terlebih makan, kerana makanan yang sampai terlalu banyak dan kerap. Terima kasih kepada Kelab Malaysia Jeddah yang banyak memberi sumbangan berupa makanan, peralatan seperti tuala mandi, ubat gigi, selipar dan banyak lagi. Tidak lupa kepada pihak Lembaga Tabung Haji dan Kerajaan Malaysia yang telah membelanjakan jutaan ringgit demi memastikan keselesaan dan keselamatan rakyat Malaysia yang dipindahkan keluar daripada Mesir.

Sebahagian pelajar Malaysia yang baru tiba daripada Mesir sedang mendengar taklimat daripada Datuk Duta.

Sehingga kini Sabtu (12 Februari 2011) Sebahagian besar pelajar Malaysia yang dipindahkan ke Jeddah telah selamat dibawa pulang ke Malaysia samaada yang menaiki pesawat yang dibiayai oleh kerajaan mahupun tanggunggan sendiri. Senarai nama mereka yang telah selamat tiba di Malaysia dan jadual penerbangan boleh disemak di sini.

Kepada ibu bapa dan keluarga yang masih menanti ketibaan anak-anak, jangan risau dan gelisah, pihak bewajib sedang mengusahakan yang terbaik dan langkah yang paling cepat untuk memastikan pelajar-pelajar Malaysia selamat pulang ke tanah air. Cuma, memerlukan sedikit kesabaran dan masa, kerana ia bukanlah suatu tugas yang mudah untuk menguruskan ribuan pelajar di negara asing dalam masa sehari dua. Kerana urusan terpaksa dibuat dengan pihak imigresen dan kedutaan negara lain bagi melancarkan sebarang urusan.


InsyaAllah, gambar sepanjang perjalanan yang sempat saya rakamkan akan dikongsikan bersama selepas ini. Pengalaman menaiki pesawat tentera C-130 Charlie, amat bermakna dalam hidup. InsyaAllah, akan saya ceritakan bersama gambar selepas ini. Diharap kepada semua pihak, jangan terlalu risau keadaan kami disini. Alhamdulillah, semua kemudahan kesihatan, makanan, tempat tinggal dan sebagainya serba lengkap walaupun ada kalanya berlaku sedikit kesulitan dan masalah. Itu perkara biasa.

Untuk makluman juga, insyaAllah. Semua pelajar yang dipindahkan ke Jeddah akan dibawa pulang ke tanah air selewat-lewatnya hari ahad ini. Doakan agar segala urusan dipermudahkan oleh Allah s.w.t.

Info Terkini Pelajar Malaysia di Jeddah

6 komen mengomen

Maklumat daripada wakil Persatuan di Mekah

Visa

Saya sendiri tengok apa yang tertulis di dalam pasport mereka ialah 'Visa ziarah di bawah selia Konsulat dan hanya tertakluk di kawasan jeddah sahaja'.Jadi pertama mereka memang tidak di benarkan keluar dari Jeddah walau untuk ke Mekah dan kedua dari segi keselamatan jika apa-apa terjadi pada mereka ,maka Konsulat Malaysia yang bertanggungjawap.Maka,di harap jangan ada waris cuba bawa keluar mereka dari penempatan sekarang secara senyap-senyap tanpa memaklumkan pada pihak konsulat (atas budi bicara).

Tempoh visa mereka adalah 7 hari bermula tarikh mereka masuk ke Jeddah.Maka sayugilah kerajaan Malaysia perlu mengurukan para pelajar ini sewajarnya.

Pelajar-pelajar ini memang tidak di boleh keluar dari kawasan pagar asrama mereka,jadi bagi sesiapa yang mempunyai warisan di kalangan pelajar,mereka boleh datang berjumpa mereka di dalam kawasan asrama.

Bilangan

Sehingga malam inii,jumlah keseluruhan para pelajar lelaki,perempuan (berkahwain dan bujang)mungkin boleh mencecah 3000 orang lebih dan akan meningkat pada setiap hari.Kapasiti di sini seramai 7000 orang.

Senarai nama pelajar yang sudah berada di sini masih di kemaskini.

Keadaan

Asrama yang menempatkan para pelajar ini di Jeddah ialah di Madinatuh Hujjat.Bagi mereka yang pernah datang haji,ini adalah tempat transit' sementara bagi jemaah haji sebelum berlepas balik ke tanahair.

Pengurusan

Sekarang yang berkuasa penuh ialah Konsulat Jeddah di bantu oleh Tabung Haji.Malam tadi saya dan ahli KMJ dapat berjumpa dan berbual-bual dengan CEO Tabung hai Datuk Ismi.Ada juga staff tabung haji dari Malaysia (pihak atasan) yang datang.Kaunter kesihatan sudah di buka.Kaunter tiket MAS ada di buka tapi tempat amatlah terhad.(ini maklumat dari staff MAS yang ada di sana).

KMJ (kelab Malaysia Jeddah) malam tadi sudah membuka satu kaunter sumbangan.KMJ akan mewakili seluruh warga Saudi yang ingin memberi apa jua bentuk sumbangan.Tujuan KMJ ialah bagi membantu secara sukarela dan percuma kepada para pelajar.KMJ sudah ada senarai barang keperluan pelajar(yang di tulis sendiri oleh pelajar) dan akan di beli dengan jumlah yang banyak,kemudian pelajar boleh ambik secara percuma di kaunter KMJ.Malam tadi sudah bermula pelajar menerima sumbangan KMJ

Makanan

Para pelajar di beri makan percuma 3 kali sehari.Ada kedai mamak kecil di dataran asrama mereka.Di sini mereka berbelanja sendiri.

Kepulangan

Seperti yang di sebut di dalam berita di Malaysia,dan petang tadi di kuatkan lagi oleh kenyataan Dato Sri Jamil Khair ketika memberi taklimat di sini di hadapan para pelajar,dia memberitahu yang kerajaan Malaysia akan menanggung tiket pulang dari Jeddah ke Malaysia.Berita yang saya dapat tadi dari wakil pelajar,sudah ada yang berlepas pulang bagi mereka yang di kira kritikal seperti yang ada keluarga,anak dan yang kurang sihat.

Ada pun yang ingin membelikan tiket kepada pelajar,lebih sesuai membeli tiket dari Malaysia dan menghantar 'confirmatian number' kepada pelajar.Kita mengharapkan agar kenyataan yang di keluarkan menjadi kenyataan.Amin

Sumber disini.

Bergambar : Info Terkini Proses Evakuasi Pelajar Malaysia di Mesir

2 komen mengomen
Alhamdulillah, semalam saya berpeluang bermalam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah, (LTAK)bagi merasai sendiri pengalaman bermalam di sana. Suasana sejuk yang mengcengkam amat menyeksakan terutama mereka yang tidak menyediakan kelengkapan musim sejuk sebaiknya, kerana cuaca pada siang hari tidak terlalu sejuk.

Sejak jam 7 pagi lagi pelajar-pelajar telah berkumpulan di hadapan Terminal 1, LTAK. Dijangka ribuan pelajar bakal berkumpul hari ini kerana arahan telah dikeluarkan agar semua negeri menghantar nama-nama pelajar yang telah mengisi borang dan mengarahkan Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) yang menaungi pelajar-pelajar Malaysia di setiap negeri untuk menghantar ahli-ahli mereka ke lapangan terbang secepat mungkin.

Sehingga jam 3 petang, kelihatan ratusan pelajar sudah memenuhi khemah dan ruang hadapan terminal. Berlaku sedikit masalah berkaitan nama pelajar yang akan berlepas menyebabkan proses terpaksa dilakukan semula secara manual. Namun agak mengecewakan tenaga kerja dan alatan (laptop) terhad.

Pelajar-pelajar Malaysia Terengganu yang baru tiba di lapangan terbang.


Pelajar Malaysia menunaikan solat dihadapan terminal semasa menanti untuk diterbangkan ke Jeddah.

BP PMRAM ditemuramah oleh wartawan daripada Malaysia


Suasana di dalam khemah menunggu..

Pelajar-pelajar lelaki Malaysia beratur sebelum masuk ke dalam terminal untuk menaiki pesawat Charlie

Lagi pelajar-pelajar Malaysia yang akan diterbangkan..

Bantuan makanan untuk diagihkan kepada pelajar-pelajar Malaysia.

Pelajar Malaysia Selangor menunjukkan bantuan makanan berupa biskut Tiger dan Mamee Slurp Kari Berapi..

Sukarelawan Malaysia tidur dan berbaring dikoridor melepaskan lelah dan keletihan.

Pada jam 7 malam, hampir 500 pelajar lelaki dibenarkan masuk untuk menaiki pesawat Charlie.
Alhamdulillah, hari ni proses perpindahan dilihat lebih lancar dan lebih awal pelajar dimasukkan. Bantuan makanan juga mula diagihkan. Laporan yang diterima terdapat juga bekalan makanan yang dirampas oleh tentera mesir semasa dalam perjalanan untuk dibawa ke lapangan terbang.

Sehingga jam 12 malam, pelajar perempuan pula dibenarkan masuk untuk diterbangkan dengan pesawat AirAsia. Pada jam 3 pagi, barulah pesawat tersebut dibenarkan untuk berlepas ke Jeddah. Sebahagian lagi terpaksa menunggu sehingga 6pagi esok sebelum diterbangkan dengan pesawat Charlie.

Hari ini beratus-ratus lagi pelajar Malaysia dijangka bakal dipindahkan ke Jeddah menggunakan pesawat TUDM Charlie, MAS dan juga Air Asia. Sementara di Iskandariah pula, pelajar-pelajar disana juga sedang dalam proses perpindahan melalui lapangan terbang iskandariah.

"Balik Ke Rumah Selepas Jumaat" Pihak Keselamatan Mesir

1 komen mengomen


KAHERAH 4 Feb - Presiden PMRAM Saudara Shahrizan bin Mohd Hazime menegaskan bahawa seluruh mahasiswa-mahasiswi perlu pulang segera ke rumah masing-masing selepas solat Jumaat pada hari ini.

Tambahnya, beliau mengeluarkan kenyataan tersebut setelah dihubungi oleh Pihak Keselamatan Mesir yang memesan agar seluruh pelajar Malaysia tidak terlibat dengan aktiviti rusuhan yang berlaku di kediaman masing-masing.
Justify Full
Katanya, PMRAM sentiasa menghubungi Pihak Keselamatan Mesir untuk menerima arahan terkini demi menjada keselamatan mahasiswa-mahasiswi Malaysia di Mesir.

Menurutnya, Pihak Keselamatan Mesir mengeluarkan arahan perintah berkurung kepada seluruh masyarakat di Mesir bermula pada jam 5 petang sehingga jam 7 pagi pada hari yang berikutnya.

Katanya lagi, pihak tentera dan polis yang mengawal keselamatan akan mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar arahan tersebut. Hal ini demi menjaga keselamatan masyarakat Mesir yang lain.

Sehubungan itu, Presiden PMRAM memberitahu bahawa arahan yang dikeluarkan oleh PMRAM bukanlah lakonan yang boleh dimain-mainkan atau dipertikai kerana arahan tersebut merupakan arahan yang dikeluarkan oleh pihak yang bertanggungjawab menjaga keselamatan Mesir.

Presiden PMRAM

Garmbar Terkini Di Lapangan Terbang Kaherah Terminal 1

5 komen mengomen
Petang tadi sekitar jam 2.30 petang saya berkesempatan untuk meninjau keadaan pelajar Malaysia di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah. Keadaan mereka dilaporkan stabil walaupun keletihan menunggu sejak jam 10 pagi tadi. Hampir 6 jam menunggu di luar terminal. Namun sedikit mendukacitakan, ialah tiada tindakan pantas daripada pihak berwajib untuk menyediakan keperluan asas atas nama misi menyelamat pelajar-pelajar Malaysia.

Kerana sepanjang 6 jam, pelajar-pelajar ini tidak dibekalkan dengan air minuman dan makanan bagi mengalas perut. Saya bukan ingin menimbulkan isu politik disini, tetapi dimana sikap profesionalisma pihak berwajib dalam memberi serta menjaga kebajikan pelajar-pelajar kita? Dimana bantuan makanan atau wang ringgit yang disalurkan? Agak kecewa selama 6 jam tersebut tiada tindakan pantas diambil untuk mengatasi masalah ini oleh pihak berwajib. Dimana petugas daripada Nadi UMNO seramai 700 orang yang menerima sumbangan RM35 000 daripada Wisma Putra? Sepanjang keberadaan di sana, saya tidak melihat seorang pun petugas daripada Kelab UMNO Luar Negara yang bertugas menjaga dan menyelaras bantuan kepada pelajar-pelajar kita disana.

Untuk makluman semua, penerbangan sepatutnya berlepas pada jam 12.30 tengahari, tetapi atas faktor kesesakan lalulintas di udara, peberbangan terpaksa ditangguhkan sehingga pesawat dibenarkan berlepas. Alhamdulillah, sekitar jam 9 malam tadi waktu Mesir, dilaporkan sebuah pesawat berjaya mendarat dengan selamat di Jeddah.


Kelihatan pelajar Malaysia sedang beratur menuggu giliran untuk masuk kedalam terminal sebelum menunuju ke pesawat

Kelihatan penuh dengan pelajar-pelajar Malaysia. Anggaran 500 orang semuanya.

Antara sebahagian pelajar perempuan Malaysia. Keletihan menunggu sejak jam 10 pagi lagi.

Pelajar perempuan daripada negeri Terengganu seramai hampir 50 orang berteduh dibawah khemah yang disediakan dihadapan terminal.

BP PMRAM Ust Solehuddin sedang berbincang dan mendapatkan penjelasan daripada Menteri di JPM Dato Seri Jamil Khir berkenaan keadaan terkini penerbangan pelajar Malaysia ke Jeddah. Turut kelihatan Pengarah Urusan Tabung Haji, Datuk Ismi (2 dari kanan) dan Duta Malaysia ke Mesir (terlindung)

Dato' Seri Jamil Khir sedang memberikan penerangan kepada pelajar yang telah menunggu hampir 6 jam.

Pelajar perempuan Malaysia duduk bersila menunggu giliran untuk diterbangkan ke Jeddah.

Perbincangan lagi..

Datuk Seri Jamil Khir sedang berbincang dengan pegawai Air Asia. Jika tidak silap Timbalan Ketua Eksekutif Kumpulan AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun.

BP PMRAM Ust Solehuddin mendengar penjelasan dan jaminan daripada Timb Menteri. Luar A Kohillan Pillay

Suasana di luar Terminal

Khemah khas yang disediakan khusus untuk penumpang.

BP PMRAM memaklumkan maklumat terkini yang diperolehi bahawa Kerajaan Mesir telah menetapkan perintah berkurung hari ini 2 Februari 2011 bermula jam 5 petang hingga 7 pagi esok.

Berita terkini yang diterima. Penerbangan Air Asia P 1299 telah berlepas ke Jeddah sebentar tadi, ini merupakan penerbangan kedua dan terakhir untuk malam ini. Seramai 67 pelajar Terengganu dan 17 pelajar Pulau Pinang yang masih lagi terkandas di Lapangan Terbang Kaherah hari ini, mereka semua akan berlepas ke Jeddah pada keesokan hari. Mudah-mudahan mereka semua dilindungi Allah SWT.

Boleh lihat senarai nama Pelajar yang telah berlepas ke Jeddah disini. Boleh juga mendapatkan berita terkini di Facebook dan juga di ILMAM

Bergambar : Info Terkini Pelajar Malaysia Di Mesir

4 komen mengomen

2 buah bas yang membawa pelajar Malaysia daripada Hayyu Asyir telah bergerak ke lapangan terbang kaherah sebentar tadi.


Bas ke-2 yang bertolak daripada Hayyu Asyir ke Lapangan Terbang sebentar tadi.

Sama-sama kita doakan semoga Allah permudahkan segala urusan perjalan mereka. Kepada keluarga pelajar di Malaysia, tahap keselamatan pelajar Malaysia disini masih lagi dan keadaan tenang dan aman. Mesir memang sedang bergolak, tetapi lokasinya agak jauh daripada asrama rumah negeri.

Diari Bergambar : Saat-saat Darurat

5 komen mengomen
Rentetan Revolusi/Demonstrasi dan Darurat Di Mesir

Rabu, 26 Januari 2011
- Satu demonstrasi secara besar-besaram berlaku di beberapa tempat di Mesir. Antaranya Kaherah, Suez dan Iskandariah.
-Demonstrasi ini dilihat sebagai sebuah gerakan kebangkitan rakyat terbesar pernah berlaku sejak 30 tahun pemerintahan Presiden Husni Mubarak di Mesir.
- Rakyat keluar beramai-ramai dan berhimpun di beberapa bandar utama mendesak agar Presiden Husni Mubarak meletakkan jawatan sekaligus menamatkan pemerintahan darurat di Mesir.
- Kebangkitan ini dilihat sebagai satu momentum selepas kejatuhan kerajaan Ben Ali di Tunisia.
- Namun menurut seorang jurnalis dan blogger Mesir, kebangkitan ini bukanlah disebabkan jatuhnya kerajaan Tunusia beberapa minggu lepas, namun ia sudah dipendam hampir sepuluh tahun iaitu ketika Palestin dinafikan hak pada 2000.
- Tumpuan utama demonstrasi ini adalah di Tahrir Square, Pusat bandar Kaherah yang juga menempatkan bangunan-bangunan utama pentadbiran kerajaan.
-Sejak petang rakyat sudah berhimpun sehingga kemuncaknya pada jam 1 pagi, apabila polis mula menyuraikan penunjuk perasaan dengan melepaskan gas pemedih mata.
-Berita Harian Malaysia menganggarkan penunjuk perasaan hampir 15 ribu namun angka sebenar jauh lebih besar. sehingga mampu mencecah 50ribu orang.
-Setakat ini dilaporkan berlaku 4 kematian, 3 orang awam dan seorang anggota polis.
-Perusuh kemudiannya bertempur dengan polis sehingga waktu subuh dan berjaya disuraikan.

Khamis, 27 Januari 2011
-Keadaan kembali stabil dan aman.
-Majoriti pelajar Malaysia di Kaherah, Mesir tinggal jauh daripada tempat berlakunya demonstrasi kecuali di Iskandariah.
-Namun terdapat juga segelintir pelajar perubatan Malaysia yang tinggal berhampiran kawasan berlakunya demonstrasi besar-besaran seperti di Abbasiah bagi pelajar-pelajar Universiti Ain Shams.
-Dijangkakan akan berlakunya gerakan demonstrasi besar-besaran pada hari esok.
-Ketika posting ini ditulis, khabar angin mula tersebar perkhidmatan laman sosial facebook dan juga twitter akan disekat daripada di akses oleh pengguna-pengguna di Mesir.
-Dikhuatiri penyebaran maklumat berkenaan demonstrasi menjatuhkan Husni Mubarak tersebar luas.
-Berita malam ini menyatakan bahawa, arahan telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa mesir agar masjid-masjid utama ditutup daripada digunakan untuk solat jumaat dengan alasan keselamatan.
- Pada jam 4/5 petang tadi, laman sosial facebook dan juga twiter telah disekat daripada diakses oleh pengguna-penguna di Mesir. Ini menimbulkan kemarahan pengguna-penguna laman sosial ini. dan menyukarkan kami pelajar Malaysia untuk berinteraksi dengan keluarga dan rakan di laman tersebut.
-Tepat jam 12 tengah malam, akses kepada Yahoo Messenger telah disekat, namun akses kepada laman-laman web lain masih boleh di lawati.
-Pada jam 1 pagi, semua laman web tidak dapat diakses, dan perkhidmatan internet menjadi sangat perlahan sehingga tidak mampu mencapai mana-mana laman.
-Perkhidmatan pesanan ringkas (sms) juga sudah disekat.

Jumaat, 28 Januari 2011
-Suq Sayyarat (pasar kereta) yang berhampiran dengan kediaman asrama rumah negeri Terengganu, Kedah, Selangor dan juga Pahang di Hayyu Asyir (Syeksyen 10), Kaherah kelihatan lengang dan tidak seperti kebiasaan hari jumaat sebelum ini yang penuh dengan kereta untuk diniagakan.
-Saya mengjangkakan bahawa ini petunjuk akan berlakunya demonstrasi secara besar-besar petang ini selepas jumaat.
-Lebih kurang jam 8 atau 9 pagi tadi, perkhidmatan telefon pula diputuskan menyebabkan sebarang maklumat dan berita tidak dapat disalurkan.
-Kami terputus hubungan dengan rakan-rakan di Mesir dan juga keluarga di Malaysia.
-Sebarang berita dan maklumat mengenai demonstrasi dan keadaan terkini di Mesir tidak sampai kepada kami menyebabkan kami sedikit panik kerana tidak tahu apa tindakan yang seharusnya dilakukan.
-Kami melakukan aktiviti harian seperti biasa kerana kawasan pelajar Malaysia disini masih tenang dan aman daripada sebarang kekecohan.
-Melalui televisyen kami mendapat maklumat perintah berkurung telah dikeluarkan. Bermula jam 6 petang sehingga 7 pagi esok.

Sabtu, 29 Januari 2011
-Keadaan disekitar Hayyu ASyir masih lagi tenang dan terkawal dan kami bebeas melakukan aktivit harian seperti biasa.
-Namun akses maklumat masih lagi terhad kerana talian telefon, internet masih lagi dibekukan.
-Namun, maklumat daripada akhbar menyatakan Amerika mendesak agar perkhidmatan itu dibuka semula dan memberi ruang kepada rakyat Mesir untuk mendapatkan maklumat dan hak bersuara.
-Saya dan seorang sahabat keluar pada jam 8 pagi menuju ke Rumah Penang di Hayyu Sabiek, kerana ada pertemuan bersama wakil daripada Syarikat Penerbitan PTS dan Mustread.
-Untuk mendapatkan khidmat tremco dan bas amat sukar, kerana boleh dikira jumlah bas dan tremco yang ada.
-Akhirnya setelah hampi setengah jam menunggu, kami berjaya mendapatkan sebuah teksi.
-Sehingga jam 2 petang, barulah talian telefon mula dibuka semula, ia membuatkan kami rasa bagai mati hidup semula, setelah terputus hubungan lebih 24jam.
-Arahan terbaru perintah berkurung dikeluarkan. Semua tidak dibenarkan keluar bermula jam 4 petang sehingga 8 pagi esok.
-Sepanjang melalui kawasan Hayyu Sabiek (Syeksyen 7) menuju ke Hayyu Asyir pada jam 4 petang, suasana kelam kabut, masing-masing tergesa-gesa mahu bergegas pulang.
-Perkhidmatan tremco sesak dan teksi amat terhad. Menyebabkan kami terpaksa sekali lagi memilih untuk menaiki teksi.
-Sepanjang perjalanan kami melihat beberapa trak pikup mengangkut warga mesir yang sedang menunggu bas dan tremco.
-Mungkin kerana waktu berkurung sudah semakin hampir dan perkhidmatan bas dan tremco terhad.
-Sempat kami melalui kawasan kedai berhampiran gami'(masjid). Warga arab mesir, beratur panjang untuk membeli 'ish' roti tempayan dan juga fino roti perancis.
-Kedai menjual Ayam segar(hidup) kelihatan kosong, kerana sudah habis dijual.
-Suasana sepanjang lorong kedai hiruk pikuk, masing-masing sibuk membeli dan mendapatkan bekalan makanan untuk sehari.
-Kelihatan begitu ramai pelajar perempuan Malaysia sedang membeli bahan mentah dan beberapa barang keperluan lain.
-Selepas waktu asar, kami dikejutkan dengan berita bahawa banduan telah terlepas daripada beberapa penjara, menyebabkan warga lelaki arab disekitar ini turun beramai-ramai sambil membawa kayu, besi, parang dan alatan lain untuk mengawasi kawasan sekitar rumah mereka termasuk kediaman pelajar Malaysia.
-Dikhuatiri banduan tersebut sampai ke kawasan ini. Tindakan segera diambil oleh penduduk setempat. beberapa sekatan jalan dibuat.
-Berita pembubaran kerajaan juga membuatkan rakyat diluar kawalan, kerana pihak berkuasa gagal untuk bertindak sewajarnya, dan tidak mampu mengekang golongan vandelisma dan pencuri yang berkeliaran.
-Sms yang saya terima daripada syarikat etisalat(perkhidmatan telefon mudah alih) menyeru agar sekarelawan melaporkan diri untuk membantu pihak tentera bagi mengawal keadaan negara.
-Pelajar-pelajar Malaysia bertindak pantas dengan menyimpan motosikal dan kederaan dilobi asrama bagi mengelak daripada dicuri.
-Pekeliling keselamatan dikeluarkan oleh Pesatuan Pelajar disini iaitu Persekutuan Melayu republik Arab Mesir untuk mahasiswa/wi Malaysia.
-Semua mahasiswa Malaysia berkumpul dirumah-rumah negeri kerana sebarang tindakan dan perhubungan dapat diselaras dan keselamatan lebih terjaga.
-Kelihatan mahasiswa Malaysia juga berkawal dikawasan rumah negeri masing-masing.
-Pada jam 7malam, kelihatan beberapa kereta perisai tentera mula melalui jalan disekitar Hayyu Asyir sebagai langkah keselamatan.
-Kehadiran kereta perisai ini disambut dengan sorakan oleh penduduk setempat.
-Mungkin sorakan kegembiran, mungkin juga sorakan kerana pertama kali dapat melihat kenderaan tentera tersebut dari jarak dekat.
-Kami mahasiswa berkawal diperkarangan asrama secara shif bagi memastikan asrama tidak dicerobohi oleh warga tempatan khususnya pencuri.

Ahad, 30 Januari 2011
-Suasana tenang setelah semalaman berjaga dan berkawal disekitar rumah penginapan.
-Setelah jam 8 pagi kelihatan kenderaan mula memenuhi jalan dan masyarakat setempat mula keluar melakukan aktiviti harian seperti biasa.
-Namun jumlah kenderaan sedikit berbanding hari biasa. Mungkin masih keliru dengan perintah berkurung yang dikeluarkan. dan mengambil langkah selamat untuk tidak keluar rumah.

Ini adalah nota-nota ringkas yang saya sempat tulis, insyaAllah bersambung lagi..


Motosikal pelajar Malaysia diletakkan didalam lobi asrama rumah negeri.


Ruang lobi penuh dengan motosikal.


Pelajar Malaysia Pahang sedang berkawal sambil menjamah sedikit makanan. Suhu yang sejuk membuatkan kami cepat berasa lapar dan terpaksa menyalakan unggun api untuk memanaskan badan.


Jalan di belakang asrama pelajar Malaysia. Kelihatan sekatan-sekatan jalan yang dibuat oleh penduduk setempat.


Lagi gambar warga arab tempatan yang sedang berkawal di waktu malam. Sambil memegang kayu dan besi.


Warga arab tempatan duduk bersembang sambil berkawal.


Setiap kenderaan yang melalui sekatan jalan akan diperiksa terlebih dahulu sebelum dibenarkan jalan.


Warga tempatan memeriksa kenderaan yang lalu di checkpoint mereka.



Helikopter tentera Mesir terbang rendah berhampiran asrama rumah negeri pelajar Malaysia.


Kelihatan trak polis yang rosak teruk diangkut untuk dibawa ke depot simpanan.


Lori sampah tidak ketinggalan untuk diperiksa bagi memastikan tidak ada kecurian atau penyeludupan apa-apa yang boleh mendatangkan mudarat kepada penduduk setempat.

Belum ada keputusan Al-Azhar Cuti 1 Tahun : PMRAM

1 komen mengomen
KAHERAH, 2 Feb – Hari ini pelbagai desas-desus berhubung isu penangguhan pengajian selama 1 tahun di Universiti Al-Azhar yang dilaporkan oleh sesetengah media massa Malaysia berikutan ketidakstabilan politik di negara Mesir.

Pihak Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) pada hari ini telah mendapatkan kepastian daripada pihak pentadbir Universiti Al-Azhar berhubung perkara tersebut.

Ketua Badan Pendidikan dan Komunikasi Bahasa PMRAM, Saudara Abdul Aziz bin Ali sebentar tadi menghubungi pihak Universiti bagi mendapatkan penjelasan terperinci berhubung perkara ini.

Makluman yang diterima, penangguhan pengajian selama 1 tahun setakat ini masih belum lagi diputuskan. Untuk makluman, semester kedua pengajian di Al-Azhar akan bermula pada 12 Februari depan sebagaimana yang dijadualkan.

Namun, pihak universiti bersedia untuk menangguhkan pengajian sekiranya keadaan darurat masih lagi berlanjutan.

Segala maklumat berkaitan pengajian akan dimaklumakan dari semasa ke semasa melalui laman web rasmi PMRAM.

Sumber : PMRAM

Pelan Tindakan Evakuasi Rakyat Malaysia Di Mesir

0 komen mengomen

Tarikh bermulanya Operasi: 2 Februari 2011

Modus Operandi

1. Penerbangan dengan pesawat Tentera Udara Di Raja Malaysia (TUDM):
a) Kaherah – Jeddah (Tempat Berkumpul: Kompleks Haiyyu Ashir dan DMAK)
b) Iskandariah – Jeddah (Tempat Berkumpul: Rumah MARA)
c) Mansourah – Iskandariah – Jeddah (Tempat Berkumpul: Hotel New Mansourah @ 5th February, 1000 hrs)

2. Pelayaran:
a) Pelabuhan Al-Adabiyah – Pelabuhan Jeddah (Tempat Berkumpul: Kompleks Haiyyu Ashir)

3. Jeddah adalah pusat transit (penginapan di asrama Tabung Haji) untuk tempoh tidak melebihi sebulan, penginapan dan makan minum ditanggung oleh Kerajaan Malaysia.

4. Pelayaran dari Pelabuhan Jeddah ke Pelabuhan Pulau Pinang atau Pelabuhan Port Klang.

5. Kos perjalanan balik ke Mesir adalah di atas tanggungan sendiri.

6. Perjalanan dari tempat penginapan ke pelabuhan atau lapangan terbang disediakan.

7. Setiap peserta hanya dibenarkan membawa hand luggage kecil tidak melebihi 7 kilogram.

8. Peserta diingatkan untuk membawa passport/dokumen perjalanan yang sah.

9. Peserta hendaklah mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh Sekretariat dari masa ke semasa.

Jadual Perjalanan

Penyelaras hendaklah mengatur perjalanan dari tempat berkumpul ke lapangan terbang (Rujuk Jadual Penerbangan).

Waktu untuk berkumpul di tempat berkumpul sebelum bertolak ke lapangan terbang adalah seperti berikut:
a) Kaherah – 2nd February, 1100 hrs
3rd, 4th dan 5th February, 1000 hrs
b) Alexandria – 4th, 5th and 6th February, 0900 hrs

Kriteria Pemilihan Pelajar-Pelajar
1. Pelajar wanita
2. Pelajar berkeluarga
3. Pelajar yang uzur dan sakit
4. Berada di zon risiko tinggi
5. Pelajar tahun pertama
6. Pelajar sekolah rendah/sekolah menengah

Tindakan Yang Perlu Diambil

Sila isi borang makluman pelajar yang disertakan. (sila rujuk pegawai Negeri, Alex, MARA masing-masing atau klik terus di sini http://jpmk.info/wp-content/uploads/Borang-Peribadi-Pelajar_2011-utk-Evakuasi1.pdf)

Jadual Penerbangan dan Pelayaran Kaherah ke Jeddah

Tarikh Flight 1 (3 aircrafts) Flight 2 (3 aircrafts) Bunga Emas 5
3rd February (delayed)
4th February 0600 hrs 1300 hrs
5th February 0600 hrs 1300 hrs 1400 hrs
6th February 0600 hrs 1300 hrs

Jadual Penerbangan Alexandria/Mansourah ke Jeddah

Tarikh Flight 1 (2 aircrafts) Flight 2 (2 aircrafts)
5th February 0600 hrs 1300 hrs
6th February 0900 hrs 1600 hrs
7th February 0900 hrs 1600 hrs

*TBC

Sebarang pertanyaan berhubung perkara ini sila berhubung dengan pegawai-pegawai Kedutaan seperti di bawah:

1. En. Saharudin Hassan (+2010-5005338)
2. En. Wan Ahmad Tarmizi Wan Idris (+2010-1101004)
3. En. Muhammad Hazam Hajanan (+2010-8714264)
4. En. Samsul Kahar Kamarudin (+2010-5382715)

Kedutaan Besar Malaysia Kaherah

Info Terkini Pelajar Malaysia Di Mesir : Operasi Piramid

0 komen mengomen
Kementerian Pertahanan Malaysia telah membuat keputusan untuk melaksanakan Operasi Piramid untuk membawa pulang pelajar2 Malaysia di Mesir. Satu daripada pesawat Charlie 130 yang dikerah ke Mesir berlepas dari pangkalan TUDM Subang, 4:10 petang tadi.

Diketuai juruterbang Kolonel Dzulkarnian Ahmad, ia membawa kumpulan pertama terdiri daripada 70 anggota tentera pelbagai pangkat. Turut dibawa bersama, bekalan makanan dan ubat-ubatan. 2 buah lagi pesawat Charlie 130 akan berlepas kira-kira 9 malam ini. Turut serta dalam penerbangan ini nanti beberapa wartawan daripada media cetak dan elektronik.

Sebenarnya, misi membabitkan 3 pesawat Charlie dan kapal Bunga Mas 5 adalah fasa pertama daripada misi yang dikenali sebagai Operasi Piramid. Dengan tanggungjawab di bawah Kementerian Pertahanan, misi diketuai Panglima TUDM, Tan Sri Rodzali Daud.

Pesawat Charlie ini dijangka tiba di Mesir esok dan operasi membawa keluar rakyat Malaysia akan dilaksanakan 24 jam sehari dengan keupayaan membawa keluar 2 ribu orang sehari. Kapal Bunga Mas 5 pula kini dalam pelayaran dari Teluk Aden ke Mesir dan dijangka tiba di Pelabuhan Adabiya 5 Februari ini. Bunga Mas 5 kemudian akan membawa rakyat Malaysia ke Jeddah.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin: "Kita akan berpangkalan dekat Jeddah. Dari Jeddah, baru kita usulkan mereka dibawa pulang ke Malaysia walau apa cara sekalipun. Yang pentingnya, keselamatan pelajar dan juga rakyat Malaysia ini, dikeluarkan dahulu dari Cairo ke Jeddah."

Operasi membawa balik rakyat Malaysia ke tanah air katanya adalah fasa kedua Operasi Piramid dan akan diselia Wisma Putra dan Majlis Keselamatan Negara.

Sumber : krisismesirnasibrakyatkita.blogspot.com

Bergambar : Info Terkini Pelajar Malaysia Di Mesir

3 komen mengomen
Salam, akses internet baru sebentar tadi (12.30tengahari waktu Mesir) dibuka semula oleh kerajaan Mesir. Terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang mendoakan keselamatan kami di sini, begitu juga sebarang usaha untuk membawa pulang pelajar Malaysia di Mesir. Namun sehingga saat ini, belum ada arahan dikeluarkan kepada kami (pelajar di Asrama Rumah Negeri di Hayyu Asyir) mungkin dalam proses. Moga dipermudahkan InsyaAllah. Setakat yang saya ketahui beberapa penerbangan pelajar Malaysia telah berjaya di pindahkan ke Jeddah semalam dan hari ini.

Buat semua rakyat Malaysia, kami disini selamat dan aman, arahan telah dikeluarkan agar semua berkumpul dan berlindung di asrama rumah negeri. Walaupun beberapa berita melaporkan terdapat banduan yang terlepas, sehingga ke saat ini belum ada berita yang tidak baik dilaporkan menimpa pelajar Malaysia disini. Kawalan keselamatan juga telah ditingkatkan disemua asrama rumah negeri, dengan kawalan mengikut shif oleh pelajar lelaki bermula jam 11 malam sehingga 7 pagi.

Perintah berkurung telah dikeluarkan sejak bermulanya demonstrasi pada Jumaat lepas.
Jumaat 28 Jan 2011 : Bermula jam 6 petang hingga 8 pagi.
Sabtu 29 Jan 2011 : Jam 4 petang hingga 8 pagi.
Ahad 30 Jan 2011 : Jam 3 petang hingga 8 pagi.
Isnin 31 Jan 2011 : Jam 2 petang hingga 8 pagi.
Selasa 1 Feb 2011 : Jam 1 petang hingga 8 pagi.

Khabar angin timbul mengatakan bahawa pelajar Malaysia hanya dipindahkan ke Jeddah, kemudian urusan balik ke Malaysia seterusnya adalah tanggungan sendiri. Wallahua'lam samaada ia benar atau tidak kita tunggu dan lihat.

Boleh baca disini untuk sebarang maklumat terkini kerana saya sedang bersiap mengemas barang keperluan untuk tindakan seterusnya. Doakan agar saya juga selamat keluar daripada Mesir.

InsyaAllah, ada kesempatan sebarang maklumat terkini akan dikemaskini.


Sekatan jalan yang dibuat bermula waktu malam sehingga pagi. Gambar dirakamkan dihadapan rumah Terengganu.


Sekatan lagi. Kelihatan beberapa pelajar Malaysia sedang berkawal.


Pelajar Malaysia memegang kayu dan besi sebagai alat untuk mempertahankan diri semasa berkawal. (Gambar, pelajar negeri Terengganu)


Mesyuarat dan taklimat keselamatan oleh YDP Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir. Ust Mohd Riduan Abu Bakar.


Introduction

Aku hanya insan biasa yang ingin berkongsi sedikit ilmu dan buah fikiran. "Ballighu anni walau ayat" "wazakkir fainnna zikra tanfaul mukminin" InsyaAllah.

LinkWithin

.

Al-Faqir

My photo
Nama Muhammad Al-Amin Hj Salleh. Dilahirkan di Kluang, Johor. Kemudian dibesarkan di Kulai, Johor sebelum berhijrah ke Kuala Terengganu selama 10 Tahun. Kini menetap di Bandar Seri Putra, Kajang, Selangor. Saya sekarang merantau ke bumi Anbiya' Mesir untuk menuntut dengan para Ulama'. Mengambil jurusan di Jabatan Syariah & Undang-undang, Kuliah Syariah Islamiah, Uni. Al-Azhar, Kaherah, Mesir. Moga pelaburan yang Ibu & Ayah lakukan ini akan berjaya menjadi saham didunia dan akhirat. InsyaAllah. Perantau di Bumi Allah. Johor - Terengganu - Selangor - Mesir

Followers