Ittaqilah Ya Akhi

HAIRAN. Apabila seorang penda'wah dalam ceramahnya menegur dan menasihati seorang suami atau isteri yang melanggar syariat Allah, boleh diterima masyarakat dengan positif. Demikian juga apabila disentuh isu berkaitan keibubapaan, masyarakat boleh menerima teguran tersebut.


Begitu juga tentang peniaga, jiran, anak dan pelbagai watak lagi, kebanyakannya dapat diterima dengan hati terbuka walaupun ada sebahagiannya ibarat masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. 

Perkara yang menghairankan adalah apabila disentuh tentang pemimpin yang melanggar syariat, penda'wah terus dipandang negatif oleh sebahagian masyarakat kita. Penda'wah dituduh melakukan dosa besar, iaitu bercakap tentang politik dalam syarahannya. Bahkan lebih malang lagi, penda'wah tersebut dituduh sebagai penentang pemimpin tersebut. Mengapa situasi ini berlaku?

Adakah aqidah peninggalan penjajah yang memisahkan antara agama dengan urusan politik masih menjadi pegangan sebahagian masyarakat kita? Adakah agama hanya dipenjarakan dalam urusan spritual di masjid dan beberapa amalan seperti kematian, perkahwinan dan ibadat-ibadat khusus sahaja?

Sedangkan Rasulullah s.a.w pernah menjadi ketua Negara selama 10 tahun di Madinah, menyusun ekonomi Negara, berperang, terlibat dengan perbincangan berkenaan gencatan senjata, menandatangani MoU (Memorandum of Understanding) dengan negara lain dan pelbagai peranan politik yang semestinya menjadi panduan para pemimpin dan ahli politik sepanjang zaman. Baginda bersabda dalam sepotong hadis yang berma’sud:
“Jihad yang paling afdhal adalah dengan berkata benar di hadapan pemerintah yang zalim.” [Riwayat at-Tirmidzi no. 2174, Abu Daud no. 4344 dan an-Nasa’ie no. 7834]

Pengarang kitab Tuhfah al-Ahwazi Sharh Sunan al-Tirmidzi dan kitab ‘Aun al-Ma’bud Sharh Sunan Abi Daud, memetik pandangan yang sangat menarik daripada Imam al-Khattabi dalam mensyarahkan hadis ini. Beliau berkata:
“Berkata benar di hadapan pemerintah yang zalim menjadi jihad yang paling afdhal kerana apabila seseorang sedang berjihad di medan perang, ia berada dalam dua kemungkinan iaitu menang ataupun kalah. Namun ketika berhadapan dengan pemerintah yang zalim, pastinya seseorang yang berkata benar itu tidak akan menang (secara fizikal dan penilaian duniawi) kerana pemerintah itu sedang berkuasa penuh.”

Imam al-Sindi dalam Sharh Sunan al-Nasa’ie pula menegaskan bahawa ia adalah jihad yang amat sedikit seseorang mujahid terselamat ataupun berjaya membetulkan pemerintah zalim, bahkan mereka yang akan dipersalahkan. Dalam sesetengah kes, ada yang membawa kepada kematian dengan cara yang sangat mengerikan.

Penghulu Para Syuhada
Dalam Kitab al-Mustadrak (no. 4884), Imam al-Hakim meriwayatkan sepotong hadis dari Jabir r.a., bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud:
“Penghulu orang yang mati syahid ialah Hamzah bin Abdul Mutalib dan juga seorang pemuda yang bangkit menegur dan menasihati pemerintah yang zalim, sehingga ia dibunuh oleh pemerintah tersebut.”

Dalam realiti da’wah masa kini di seluruh dunia, ada penda’wah yang memilih jihad yang paling afdhal dalam pendekatannya dan ada juga yang memilih dengan penuh ikhlas untuk terus berjihad. Walaupun bukan dalam bentuk yang paling afdhal, tetapi ia demi maslahat-maslahat yang juga pada hakikatnya memberi manfaat kepada mad’u.

Walaupun kedua-dua golongan ini menggunakan pendekatan yang berbeza, hati mereka tetap bertaut dengan keikhlasan untuk menegakkan agama Allah di muka bumi ini. Masing-masing saling mengisi kekosongan yang tidak mampu diisi oleh saudara seperjuangannya dengan penuh ikhlas kerana Allah dan bersangka baik.

Walau bagaimanapun, apabila wujudnya golongan yang hanya mendakwa mereka sedang berjihad dengan lidahnya yang tidak bertulang sedangkan hatinya dihinggapi virus hasad, mengharap pujian manusia dan gilakan habuan duniawi, maka akan tercetuslah peperangan sesama sendiri yang amat menggembirakan musuh yang begitu riang bertepuk tangan sambil mencurahkan lagi minyak ke dalam api yang sedang menyala. Ketika berlaku pertembungan, sebenarnya Allah sedang menapis hamba-hamba-Nya yang ikhlas dan berakhlak serta menzahirkan true colours golongan yang mencari selain Allah dalam perjuangannya. 

Agama Ialah Nasihat

Tulisan ini bukan bertujuan menafikan kelebihan jihad di medan perang atau jihad-jihad dalam bentuk yang lain, tetapi untuk menjelaskan bahawa menegur pemerintah yang zalim ialah malan yang dituntut oleh Islam demi kepentingan agama, masa depan generasi akan datang serta keamanan tanah air sendiri. Ia juga dilakukan atas dasar sayang akan mereka, lalu tidak dibiarkan berterusan menempah azab Allah di akhirat kelak dengan kezaliman yang dilakukan.


Dalam sepotong hadis yang lain, Baginda bersabda yang bermaksud:
"Agama adalah nasihat." Para sahabat bertanya, "Kepada siapa?" Rasulullah menjelaskan; "Kepada Allah, kitab-Nya, Rasul-Nya, para pemimpin dan kepada umat Islam keseluruhannya."


Dalam Syarah Imam al-Nawawi, beliau menerangkan bahawa amalan memberi nasihat berdasarkan agama merupakan tunjang yang sangat penting dalam Islam. Nasihat kepada Allah, kitab-Nya dan Rasul-Nya membawa pengertian mengajak manusia agar beriman kepada ketiga-tiga pedoman ini. Manakala nasihat kepada para pemimpin adalah dengan membantu dan mentaati mereka dalam perkara kebenaran dan menegurnya apabila melakukan kemungkaran. Semua ini dilakukan demi mencari keredhaan Allah SWT dan bakal menjadi "pencen" akhirat seseorang, Insya Allah. 


Oleh:
Ustaz Syed Mohd Norhisyam Tuan Padang

0 komen mengomen :: Ittaqilah Ya Akhi

Introduction

Aku hanya insan biasa yang ingin berkongsi sedikit ilmu dan buah fikiran. "Ballighu anni walau ayat" "wazakkir fainnna zikra tanfaul mukminin" InsyaAllah.

LinkWithin

.

Al-Faqir

My photo
Nama Muhammad Al-Amin Hj Salleh. Dilahirkan di Kluang, Johor. Kemudian dibesarkan di Kulai, Johor sebelum berhijrah ke Kuala Terengganu selama 10 Tahun. Kini menetap di Bandar Seri Putra, Kajang, Selangor. Saya sekarang merantau ke bumi Anbiya' Mesir untuk menuntut dengan para Ulama'. Mengambil jurusan di Jabatan Syariah & Undang-undang, Kuliah Syariah Islamiah, Uni. Al-Azhar, Kaherah, Mesir. Moga pelaburan yang Ibu & Ayah lakukan ini akan berjaya menjadi saham didunia dan akhirat. InsyaAllah. Perantau di Bumi Allah. Johor - Terengganu - Selangor - Mesir

Followers