2012 berlalu pernuh warna-warni

0 komen mengomen
Sekejap je masa berlalu, sekarang dah 2013. Pelbagai peristiwa berlaku sepanjang 2012. Dulu ahli biasa, sekarang sebagai pimpinan dan dah hampir setahun berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Agung PMRAM, kini di akhir sesi pentadbiran.. Sayu juga rasa hati ni bila ukhuwwah yang dibina sepanjang tahun 2012 bakal berakhir.. Setahun ini dirasakan begitu singkat tetapi penuh dengan cabaran dan pengalaman yang cukup bermakna buat diri ini. Terima kasih Universiti Tarbiyah Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM). Jika ingin diceritakan suka, duka, pahit dan manis sepanjang sesi ini, terlalu banyak. Cukuplah gambar yang berbicara menceritakan pengalaman dan kenangan sepanjang sesi ini. Moga ukhuwwah yang terbina ini kekal selama-lamanya.

Adik-beradik Badan Pengurus PMRAM 2012 ketika menghantar kepulangan Setiausaha Agung ke Malaysia.

Bersama Jabatan Setiausaha Agung PMRAM 2012. (Saya, Ust Halis (Setiausaha Agung) dan Ust Subki (NSUA). 

Seminar kesetiausahaan bersama Jabatan Setiausaha seluruh PMRAM cawangan.


Makan-makan bersama BP Ahmad (Ekonomi)

Insan yang banyak mengajar saya erti perjuangan. Ust Taufiq Dahlan.

Menemani Presiden PMRAM, Ustaz Abdul Aziz Ali bertemu pensyarah Universiti Al-Azhar, Dr. Aiman.

Ziarah ke Zagazig

Gotong-royong sempena menyambut maniesto Presiden Mesir, Dr. Muhammad Mursi.

Pengarah program Hari Raya PMRAM 2012

Bersama sahabat pimpinan daripada Indonesia Presiden Persatuan Pelajar dan Mahasiswa Indonesia (PPMI)

Bersama anak-anak PMRAM Cawangan Perlis/Keluarga Pelajar-pelajar Perlis (KPP), cawangan angkat.


Uda, ibu dan ayah singgah ke Mesir dalam misi kemanusiaan ke Sudan.


Bersama Ust Syed Abdul kadir Al-Joofre.


Strawberry

0 komen mengomen
Musim sejuk tiba lagi, dan tahun ini antara tahun yang paling banyak hujan sepanjang 3-4 tahun saya berada di bumi anbiya' ini. Suhu paling rendah setakat nj mencecah 7'Celcius. Walaupun takde salji, tapi sejuknya teramat sangat. Tak mandi dua tiga hari perkara biasa, sebab tak berpeluh dan kalau mandi terlalu kerap pun boleh memudharatkan kesihatan.

Kebiasaannya, musim sejuk di Mesir adalah musim bagi buah strawberry. Jika di Malaysia buah ni hanya boleh di dapati di Tanah Tinggi, tapi di Mesir, buah strawberry di jual di tepi-tepi jalan, dan harganya boleh mencecah paling murah LE2.50 (75sen Malaysia) sekilo. Murah? Mestilah... 

Tapi setakat ni tak pernah sampai lagi ke ladang strawberry. Tahu beli dan makan je. Jangan disangka padang pasir ini hanya ada unta je. Paling best musim panas, musim anggur. Masa tu, macam makan nasi dah , sebab murah dan manis sangat. Tunggu jelah musim panas nanti ye.


Strawberry Mesir, murah dan manis.

'Malay Sketches' Bukti Aqidah Melayu Telah Lama Goyah

0 komen mengomen

Kata Frank Swettenham dalam karyanya "Malay Sketches", berulang kali beliau menjelaskan bagaimana orang Melayu yang gagal dikristiankan kerana kekentalan kepercayaan mereka kepada Allah dan yakin memasuki syurga, tetapi masih turut percaya dengan amalan yang menjejaskan aqidah! 


Dengan mengakui bahawa keadaan sedemikian adalah kesan daripada agama Hindu, Swettenham telah memberi maklumat kepada para pembaca bahawa pada abad itu, betapa lemahnya aqidah umat Melayu ini.

Bayangkanlah seorang pegawai Inggeris kelihatan sangat faham dasar utama agama yang dibawa oleh nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, yang membezakan Islam dengan kristian iaitu Tauhid. 

Swettenham juga mengkritik tajam cara hidup berugama orang Melayu, beliau menyifatkan walaupun orang Melayu pengikut Muhammad, namun mereka melakukan amalan khurafat, tahyul, syirik dan mistik. Suatu yang sungguh bertentangan.

Petikan daripada buku "Malay Sketches" oleh Frank Swettenham.

Bukti masyarakat Melayu dahulu, mereka solat, beribadat tapi dalam masa yang sama mencampur adukkan antara syirik dan ibadat. Agama hanya di masjid, tetapi judi, berlaga ayam dibolehkan, Islam hanya dalam skop yang kecil.

Maka, Amanat Haji Hadi yang sebenarnya bukan amanat, tetapi diamanatkan oleh seseorang, telah membataskan diantara Iman dan Kufur itu sangat relevan 30 tahun lepas, jika di zaman penjajahan Inggeris budaya dan pemahaman masyarakat tentang Islam sudah parah sebegini. Maka tindakan tegas serta peranan ulamak, agamawan pada ketika itu perlu tegas dan tajam bagi menjaga dan memelihara aqidah umat Islam khususnya di tanah Melayu.

Namun, amat menyedihkan isu Aqidah umat Islam ini dipolitikkan bagi menjatuhkan serta memburuk-buruk karakter individu tertentu. Walhal, banyak lagi perkara besar yang perlu diberi perhatian oleh semua lapisan masyarakat. Dengan kes jenayah yang semakin meningkat hingga sukar untuk dibendung. Maka, perkara itu perlu diutamakan terlebih dahulu.

Sungguh, budaya politik kita masih belum matang serta tidak dapat membezakan diantara aulawiyat dan perkara manakah yang boleh dijadikan isu dan yang mana tidak. 

Swettenham merekodkan kejadian dalam karyanya "Malay Sketches" yang menimpa dirinya sendiri yang kehilangan barang lalu dicadangkan kepadanya itu mendapatkan khidmat tukang tilik. Malangnya upacara ini diselitkan dengan unsur-unsur keagamaan seperti membaca ayat-ayat Al-Quran yang bercampur baur dengan serapah dalam jampi mereka.

Perkara yang paling signifikan dalam karnyanya ialah apabila Swettenham menerima sepucuk surat berkenaan bahaya syirik daripada Tuan Guru Agama bagi Sultan. Beliau bernama Tuan Haji Wan Muhammad.

"One evening I was discussing these various superstitions with the Sultan, and I did not notice that the spiritual teacher of His Highness had entered and was waiting to lead the evening prayer. The guru, or teacher, no doubt heard the end of our conversation and was duly scandalised, for the next day I received from him a letter
"-Malay Sketches by Frank Swettenham

Suatu hari, Swettenham berbicara dengan Sultan tentang amalan-amalan syirik yang begitu disukai Sultan dan perbualan itu didengari oleh Tuan Guru Agama itu yang sedang menunggu untuk mengimamkan solat Maghrib.

Keesokkan harinya, Swetteham mendapat surat panjang daripada guru agama itu yang menceritakan tentang bahaya, kesan dan dosa syirik di dalam Islam. Tuan guru itu juga mengkritik sikap Raja dan penghulu yang masih berpegang dengan amalan syirik tersebut. Surat itu begitu unik kerana selain menegaskan tentang pengharaman syirik dalam Islam, beliau juga meminta pandangan Swettenham tentang hukum syirik dalam agama Kristian.

-Tuan Haji Wan Muhammad Said:-
"I make ten thousand salutations. I wish to inquire about the practice of ber-hantu, driving oneself mad and losing one's reason, as has been the custom of Rajas and Chiefs in this State; is it right according to your religion, Mr. Resident, or is it not? For that practice is a deadly sin to the Muhammadan Faith, because those who engage in it lose their reason and waste their substance for nothing ; some of them cast it into the water, while others scatter it broadcast through the jungle. How is such conduct treated by your religion, Mr. Resident, is it right or wrong? I want you in your indulgence to give me an answer, for this practice is very hard on the poor. The Headmen collect from the rayats, and then they make elaborate preparations of food, killing a buffalo.


Jelaslah daripada catatan Swettenham, amalan khurafat dan syirik subur berlaku dalam alam Melayu kerana sokongan daripada pemerintah sekalipun ia ditentang oleh para Ulamak. Walaupun para ulamak jerih berdakwah, perkara terlarang dalam Islam itu terus kekal sehingga ke generasi seterusnya. Sehingga kini, sebahagian kecil amalan itu masih wujud dalam masyarakat Melayu. Sungguh besar pengajaran yang diperolehi daripada catatan Residen British ini.
Ingatlah pesan Allah dalam al-Quran, yang bermaksud: "“Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya: “wahai anakku yang tercinta, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu merupakan adalah satu kezaliman yang besar.” Surah Luqman ayat 13.

Himpunan Rakyat : Hukum dan Pendapat Ulamak

0 komen mengomen
HIMPUNAN RAKYAT : Pendapat Ulama dan Keharusannya




Sudah menjadi kebiasaan di dalam sebuah negara maju dan yang mempunyai rakyat berkesedaran tinggi menjadikan himpunan umum atau demonstrasi sebagai cara menyuarakan pendirian mereka. Lebih-lebih lagi berdemonstrasi dibenarkan dalam sebuah negara demokrasi selagi berlangsung dengan aman dan tidak menyebabkan huru-hara dalam negara.

Rakyat Malaysia yang mempunyai kesedaran tinggi tentang keadilan dan hak, mereka juga tidak ketinggalan mengadakan beberapa siri perhimpunan umum untuk menegur golongan pemerintah. Islam juga menyarankan konsep "amar makruf nahi mungkar" hatta kepada pemerintah sekiranya tidak berlaku adil.


Persoalannya, adakah menegur pemerintah dengan cara ini dibenarkan dalam Islam? Atau cara ini ditegah hanya kerana diceduk dari pengamalan masyarakat Barat yang tidak beragama Islam? Persoalan ini harus segera dijawab lebih-lebih lagi ia sudah menjadi amalan masyarakat di kebanyakan negara lebih-lebih lagi di Malaysia.

Pandangan ulamak tentang himpunan aman atau demostrasi.


1. Kebanyakan ulamak muktabar seperti Dr. Yusof Al-Qadhowi (klik), Dr. Ali Jumaah (klik) , Syeikh Abdul Rahman Abdul Khaliq dalam kitabnya ( فصول من السياسة الشرعية ), Syeikh Salman Fahd Audah dan Dr. Sa'aduddin Mus'ad Hilali serta kebanyakan ulamak masa kini berpendapat HARUS mengadakan demostrasi aman lebih-lebih lagi ia dibenarkan oleh perlembagaan sebagai cara untuk rakyat menuntut keadilan dan menyuarakan hak serta pendirian mereka.


Malah gabungan suara rakyat yang ramai lebih didengari dari menyuarakannya bersendirian. Ini berdasarkan Firman Allah bermaksud : "Dan tolong-menolonglah dalam mengerjakan perkara kebaikan dan taqwa, jangan tolong menolong dalam perkara dosa dan permusuhan" (al-Maidah : 2).


Dalam kaedah fiqh juga ada menyatakan : "Asal sesuatu perkara itu harus selagi tidak ada dalil qat'ie dan sorih yang mengharamkannya.


2. Diriwayat dari ibnu Abbas bahawa Sayyidina Umar al-Khattab ketika menjawab soalan ibnu Abbas tentang kenapa dia digelar Al-Faruq oleh Rasulullah S.A.W . Ini kerana disebabkan keberaniannya bersama dengan Sayyidina Hamzah memimpin dua saff muslimin yang turut disertai oleh Nabi S.A.W berjalan beramai-ramai menuju ke Masjidil Haram untuk menzahirkan Islam dan kekuatan muslimin di Mekah. (تاريخ دمشق /حلية الأولياء)


3. Demonstrasi walaupun dilihat berasal dari Barat tetapi intipatinya tidak bercanggah dengan dasar Islam dan erti kemanusiaan. Malah himpunan umum menjadi salah satu syi'ar islam dalam menzahirkan' izzah, kekuatan dan kesatuan umat Islam seperti himpunan ketika solat berjemaah, hari raya dan ketika ibadat haji.


4. Diriwayatkan dari ibnu Abbas, Hadis yang dikeluarkan oleh Syaikhan (Bukhari dan Muslim) bahawa Nabi S.A.W suka menyamai Ahli Kitab pada perkara yang tidak ada perintah tertentu berkenaannya. Malah Rasulullah S.A.W ketika membina parit dalam perang Khandak,membuat cop dan asal kaedah jual beli salam juga mengambil contoh dari orang bukan islam. Sistem Kharaj juga diambil oleh sahabat dari negara Parsi.


5. Demonstrasi bukan bermaksud menentang atau mengangkat senjata menghadapi pemerintah. Ia adalah sebagai salah satu cara untuk menasihati pemerintah dan menegahnya dari terus melakukan mungkar serta ketidakadilan terhadap rakyat.


Ini berdasarkan dua Hadis Rasulullah S.A.W : "Agama itu nasihat". Adapun Hadis yang kedua : "Sesiapa yang melihat kemungkaran hendaklah menegahnya dengan tangan, sekiranya tidak mampu, tegurlah menggunakan lidah dan jika tidak mampu juga, maka dengan hati dan ia selemah-lemah iman".


6. Kaedah المصلحة المرسلة " dan " للوسائل حكم المقاصد " juga menjadi hujjah selagi tujuan iaitu maslahah yang mahu dicapai diakui oleh Islam serta mendatangkan manfaat kepada rakyat. Antara maslahah yang diperakui mendatangkan padanya manfaat seperti nasihat kepada pemerintah, meneguhkan pendirian umat Islam pada perkara hak dan memperkukuhkan suara rakyat menentang ketidakadilan pemerintah.


Maka cara ini dikira harus seperti hukum tujuannya juga. Dengan cara ini juga, ia dapat menolak kerosakan (مفسدة) dalam sesebuah masyarakat seperti rakyat akan selamanya dilihat lemah dan boleh ditindas sesuka hati oleh pemerintah dan rakyat akan terus diperintah oleh pemerintah yang zalim.


7. Di Malaysia contohnya,terdapat peruntukan undang-undang yang memberikan kebebasan bercakap,berhimpun dan berpesatuan kepada rakyat seperti yang termaktub di dalam Perlembagan Perseketuan Malaysia pada perenggan (a),(b) dan (c) di dalam fasa 1,perkara 10,bahagian 2. Peruntukan ini jelas membenarkan himpunan aman diadakan selagi tidak melanggar syarat yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan. (di sini)


8. Terdapat sesetengah ulamak yang berpendapat HARAM mengadakan demonstrasi dengan beberapa hujjah seperti perbuatan ini tidak pernah dilakukan oleh para sahabat dan ia dikira perkara bida'ah yang ditolak.


Cara ini juga diambil dari Barat dan melakukannya seolah-olah mnyerupai orang bukan islam sebagaimana sabda Nabi S.A.W yang bermaksud : "Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia dari kalangan mereka". Ayat Al-Quran yang mewajibkan taat kepada pemerintah dan kaedah "" سد الزريعة juga menjadi hujjah pendapat ini.


9. Hujjah pendapat ini dijawab oleh ulamak seperti Dr. Sa'aduddin Mus'ad Hilali di dalam kitabnya( الجديد في الفقه السيا سي المعا صر ) bahawa demonstrasi tidak termasuk perkara bida'ah yang ditolak kerana pernah dilakukan dan dipimpin oleh saidina Umar dan saidina Hamzah ketika zaman Rasulullah S.A.W. cara ini juga walaupun dilihat menyerupai perbuatan bukan Islam tidaklah menjadikan ia haram kerana Islam hanya mengharamkan menyerupai bukan Islam pada perkara yang bertentangan dengan sesuatu Nas daripada syara' seperti cara ibadah mereka.


Demonstrasi juga tidak menafikan suruhan mentaati pemerintah disebabkan ia dibenarkan oleh perlembagaan. Maka himpunan tersebut boleh dilakukan selagi mengikut syarat-syarat yang ditetapkan.


Diriwayat dari Imam Bukhari sesungguhnya Nabi S.A.W bersabda : " المسلمون عند شروطهم".Kewajipan mentaati pemerintah juga hanyalah kepada perkara taat dan bukan maksiat seperti sabda Nabi S.A.W yang bermaksud : "Tidak ada ketaatan pada makhluk pada perbuatan maksiat kepada pencipta".


10. Adapun hujjah "menutup ruang" yang boleh mendatangkan kerosakan seperti kerosakan harta awam, perbalahan dan kerugian peniaga-peniaga dijawab oleh Dr. Yusof al-Qardhawi bahawa kaedah ini tidak harus digunakan sehingga menjadi wasilah untuk melarang usaha mencapai maslahah yang lebih utama dan diakui oleh Islam.


Ini kerana kerosakan yang dijangka berlaku boleh diatasi dengan kawalan pihak keselamatan dan janji dari penganjur untuk tidak melakukan kerosakan dan perbalahan sepanjang himpunan aman. Malah beberapa siri himpunan yang telah lalu membuktikan peniaga-peniaga tidak mengalami kerugian bahkan mendapat keuntungan berlipat kali ganda dari hari-hari biasa.








Sumber : http://www.manhal.pmram.org/2013/01/himpunan-rakyat-pendapat-ulama-dan.html?m=1

Ittaqilah Ya Akhi

1 komen mengomen
HAIRAN. Apabila seorang penda'wah dalam ceramahnya menegur dan menasihati seorang suami atau isteri yang melanggar syariat Allah, boleh diterima masyarakat dengan positif. Demikian juga apabila disentuh isu berkaitan keibubapaan, masyarakat boleh menerima teguran tersebut.


Begitu juga tentang peniaga, jiran, anak dan pelbagai watak lagi, kebanyakannya dapat diterima dengan hati terbuka walaupun ada sebahagiannya ibarat masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. 

Perkara yang menghairankan adalah apabila disentuh tentang pemimpin yang melanggar syariat, penda'wah terus dipandang negatif oleh sebahagian masyarakat kita. Penda'wah dituduh melakukan dosa besar, iaitu bercakap tentang politik dalam syarahannya. Bahkan lebih malang lagi, penda'wah tersebut dituduh sebagai penentang pemimpin tersebut. Mengapa situasi ini berlaku?

Adakah aqidah peninggalan penjajah yang memisahkan antara agama dengan urusan politik masih menjadi pegangan sebahagian masyarakat kita? Adakah agama hanya dipenjarakan dalam urusan spritual di masjid dan beberapa amalan seperti kematian, perkahwinan dan ibadat-ibadat khusus sahaja?

Sedangkan Rasulullah s.a.w pernah menjadi ketua Negara selama 10 tahun di Madinah, menyusun ekonomi Negara, berperang, terlibat dengan perbincangan berkenaan gencatan senjata, menandatangani MoU (Memorandum of Understanding) dengan negara lain dan pelbagai peranan politik yang semestinya menjadi panduan para pemimpin dan ahli politik sepanjang zaman. Baginda bersabda dalam sepotong hadis yang berma’sud:
“Jihad yang paling afdhal adalah dengan berkata benar di hadapan pemerintah yang zalim.” [Riwayat at-Tirmidzi no. 2174, Abu Daud no. 4344 dan an-Nasa’ie no. 7834]

Pengarang kitab Tuhfah al-Ahwazi Sharh Sunan al-Tirmidzi dan kitab ‘Aun al-Ma’bud Sharh Sunan Abi Daud, memetik pandangan yang sangat menarik daripada Imam al-Khattabi dalam mensyarahkan hadis ini. Beliau berkata:
“Berkata benar di hadapan pemerintah yang zalim menjadi jihad yang paling afdhal kerana apabila seseorang sedang berjihad di medan perang, ia berada dalam dua kemungkinan iaitu menang ataupun kalah. Namun ketika berhadapan dengan pemerintah yang zalim, pastinya seseorang yang berkata benar itu tidak akan menang (secara fizikal dan penilaian duniawi) kerana pemerintah itu sedang berkuasa penuh.”

Imam al-Sindi dalam Sharh Sunan al-Nasa’ie pula menegaskan bahawa ia adalah jihad yang amat sedikit seseorang mujahid terselamat ataupun berjaya membetulkan pemerintah zalim, bahkan mereka yang akan dipersalahkan. Dalam sesetengah kes, ada yang membawa kepada kematian dengan cara yang sangat mengerikan.

Penghulu Para Syuhada
Dalam Kitab al-Mustadrak (no. 4884), Imam al-Hakim meriwayatkan sepotong hadis dari Jabir r.a., bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud:
“Penghulu orang yang mati syahid ialah Hamzah bin Abdul Mutalib dan juga seorang pemuda yang bangkit menegur dan menasihati pemerintah yang zalim, sehingga ia dibunuh oleh pemerintah tersebut.”

Dalam realiti da’wah masa kini di seluruh dunia, ada penda’wah yang memilih jihad yang paling afdhal dalam pendekatannya dan ada juga yang memilih dengan penuh ikhlas untuk terus berjihad. Walaupun bukan dalam bentuk yang paling afdhal, tetapi ia demi maslahat-maslahat yang juga pada hakikatnya memberi manfaat kepada mad’u.

Walaupun kedua-dua golongan ini menggunakan pendekatan yang berbeza, hati mereka tetap bertaut dengan keikhlasan untuk menegakkan agama Allah di muka bumi ini. Masing-masing saling mengisi kekosongan yang tidak mampu diisi oleh saudara seperjuangannya dengan penuh ikhlas kerana Allah dan bersangka baik.

Walau bagaimanapun, apabila wujudnya golongan yang hanya mendakwa mereka sedang berjihad dengan lidahnya yang tidak bertulang sedangkan hatinya dihinggapi virus hasad, mengharap pujian manusia dan gilakan habuan duniawi, maka akan tercetuslah peperangan sesama sendiri yang amat menggembirakan musuh yang begitu riang bertepuk tangan sambil mencurahkan lagi minyak ke dalam api yang sedang menyala. Ketika berlaku pertembungan, sebenarnya Allah sedang menapis hamba-hamba-Nya yang ikhlas dan berakhlak serta menzahirkan true colours golongan yang mencari selain Allah dalam perjuangannya. 

Agama Ialah Nasihat

Tulisan ini bukan bertujuan menafikan kelebihan jihad di medan perang atau jihad-jihad dalam bentuk yang lain, tetapi untuk menjelaskan bahawa menegur pemerintah yang zalim ialah malan yang dituntut oleh Islam demi kepentingan agama, masa depan generasi akan datang serta keamanan tanah air sendiri. Ia juga dilakukan atas dasar sayang akan mereka, lalu tidak dibiarkan berterusan menempah azab Allah di akhirat kelak dengan kezaliman yang dilakukan.


Dalam sepotong hadis yang lain, Baginda bersabda yang bermaksud:
"Agama adalah nasihat." Para sahabat bertanya, "Kepada siapa?" Rasulullah menjelaskan; "Kepada Allah, kitab-Nya, Rasul-Nya, para pemimpin dan kepada umat Islam keseluruhannya."


Dalam Syarah Imam al-Nawawi, beliau menerangkan bahawa amalan memberi nasihat berdasarkan agama merupakan tunjang yang sangat penting dalam Islam. Nasihat kepada Allah, kitab-Nya dan Rasul-Nya membawa pengertian mengajak manusia agar beriman kepada ketiga-tiga pedoman ini. Manakala nasihat kepada para pemimpin adalah dengan membantu dan mentaati mereka dalam perkara kebenaran dan menegurnya apabila melakukan kemungkaran. Semua ini dilakukan demi mencari keredhaan Allah SWT dan bakal menjadi "pencen" akhirat seseorang, Insya Allah. 


Oleh:
Ustaz Syed Mohd Norhisyam Tuan Padang

Cabaran di bumi Al-Azhar

1 komen mengomen
Realiti tidak seindah imaginasi dan kehendak hati. Apa yang kita rancang akhirnya tetap jua Allah yang menentukan. Saya masih lagi penuntut di Universiti Al-Azhar As-Syarif yang penuh misteri dan keajaiban, hari-hari yang dilalui penuh dengan suka dan duka, Al-Azhar dan bumi Mesir banyak mengajar erti sabar dan berdikari, erti usaha dan tawakkal, erti hidup pada berkongsi.

Suatu ketika dahulu saya antara mereka yang memandang sinis kepada mereka yang menuntut di Al-Azhar kerana ada diantara mereka yang bertahun-tahun, tetapi masih belum mampu untuk menghabiskan pengajian dalam waktu yang singkat, iaitu kebiasaan adalah 4 tahun. Namun, bila kaki ini nyata berpijak di bumi yang dikata dan dipandang sinis itu. Baru saya sedar realiti dan kepayahan serta cabaran belajar dibumi sumpahan ini.

Adat orang berusaha akan berjaya, namun teori dan adat itu tidak boleh diguna seratus peratus disini. Kerana sudah ramai yang merasai dan peritnya hakikat kegagalan walau telah berusaha sehabis daya. Yang gagal kerana malas itu memang patut dipersalahkan, tetapi jangan menghujum mereka yang gagal. Kerana rata-rata akan mengata gagal sebab malas dan tidak ke kuliah, hakikatnya qualiti yang Al-Azhar tetapkan terlalu tinggi. 

Ditempat lain atau di universiti lain, mereka menggunakan sistem repeat paper, atau ulangan untuk menduduki peperiksaan semula bagi subjek yang gagal. Di Jordan, sistemnya hampir sama dengan di Malaysia iaitu menggunakan jam kredit dan kita boleh pilih subjek mana yang kita ingin ambil untuk setiap semester.  Saya difahamkan jika dia UIAM, pelajar boleh repeat sampai lulus subjek yang gagal, dengan syarat pointer tidak kurang daripada yang ditetapkan. Tetapi di Al-Azhar, setiap semester tidak ada pilihan, kamu mesti ambil setiap subek yang telah ditetapkan untuk setiap semester. Jika 12 subjek, maka 12 itulah yang perlu diambil, jika 16, itulah subjeknya, dan keputusan mestilah tidak gagal lebih daripada 2 subjek, jika minima 3 subjek daripada keseluruhan (minima biasanya 12 subjek) kamu gagal, 3 subjek itulah yang kamu akan ulang setahun akan datang. tidak ada repeat paper, yang ada hanya repeat year.

Walaupun kadangkala terasa peritnya, namun di akhirnya akan manis dan hebatnya tarbiyyah di bumi Al-Azhar. Saya tahun pertama telah rasai pengalaman itu, hanya 3 paper setahun. Satu subjek untuk semester pertama, dan baki dua lagi subjek untuk semester kedua. Menarik kan?

Belum lagi dengan cabaran-cabaran lain seperti kerenah birokrasi, bahasa, cuaca dan persekitaran disini. Namun, itulah nilai yang perlu dibayar untuk segudang ilmu yang ingin kita selama.

Apa yang dapat disimpulkan, bumi Mesir tidak akan pernah sama dan tidak akan ada di tempat lain. Baik dari segi sistemnya, suasana dan cabarannya. Hanya mereka yang pernah berada disini layak untuk berbicara tentangnya.



Ini bangunan kuliah Syariah & Undang-undang Universiti Al-Azhar, Kaherah. Disni jugalah ditempatkan kuliah-utama lain seperti Kuliah Usuluddin dan Bahasa Arab. Kedudukannya bersebelahan dengan Masjid Al-Azhar, menjadikannya pusat pendidikan antara yang tertua di dunia. 


365 Days Project

0 komen mengomen
InsyaAllah, tahun baru 2013 ini, saya cuba untuk memulakan projek fotografi setiap hari sepanjang tahun iaitu 365 hari. Moga-moga Allah permudahkannya. Sekadar untuk merakam detik-detik berharga dan penuh nilai yang hanya akan berlaku mungkin sekali seumur hidup dan sepanjang tahun. Maka, saya mulakan dengan gambar untuk Syria. Kerana harapan saya tahun ini untuk melihat Syria berjaya dibebaskan dan kemenangan ini pasti akan membawa kemenangan dan pembebasan bumi Palestin. Insya-Allah.


Gambar ini dirakam ketika selepas solat jumaat terakhir pada tahun 2012 di Masjid Al-Azhar As-Syarif, khutbah jumaat pula disampaikan oleh Prof. Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi. Ini adalah kali kedua Syeikh Yusuf menyampaikan khutbah di Masjid Al-Azhar sepanjang hidup beliau. Setelah sekian lama hidup dalam buangan dan tidak dibenarkan untuk solat dan berkhutbah disini, akhirnya selepas kejatuhan regim Husni Mubarak, beliau dapat kembali ke Mesir dan yang paling mengembirakan beliau adalah dapat solat dan berkhutbah di Masjid Al-Azhar. Tempat dimana beliau belajar dan mendalami ilmu agama. 

Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi kini berusia 87, bermakna tahun 2013 adalah tahun yang ke 88 buat beliau. Dalam setiap khutbahnya sepanjang saya mendengar. Beliau pasti akan menyebut bahawa kuasa pemerintahan manusia tidak kekal. Allah pasti akan menghinakan sesiapa yang Allah kehendaki dan memuliakan siapa yang Allah kehendaki. Begitulah yang berlaku kepada Ben Ali di Tunisia, Muammar Ghadafi di Libya, Husni Mubarak di Mesir dan Insya-Allah, tahun 2013 ini tahun kejatuhan Basyar Al-Assad di Syria.

Bendera ini saya pinjam daripada seseorang, mungkin rakyat Syria. Ketika saya memegang bendera ini, tiba-tiba pemuda tersebut mengisyaratkan kepada saya untuk berhenti seketika. Apa yang saya sangka silap, rupanya beliau ingin memperbetulkan kedudukan bendera tersebut. Warna hijau diatas dan hitam dibawah. Allahuakbar..  Kita yang tak tahu mungkin nampak biasa, tapi bagi mereka, itulah identiti dan negara yang merek cinta. 

Introduction

Aku hanya insan biasa yang ingin berkongsi sedikit ilmu dan buah fikiran. "Ballighu anni walau ayat" "wazakkir fainnna zikra tanfaul mukminin" InsyaAllah.

LinkWithin

.

Al-Faqir

My photo
Nama Muhammad Al-Amin Hj Salleh. Dilahirkan di Kluang, Johor. Kemudian dibesarkan di Kulai, Johor sebelum berhijrah ke Kuala Terengganu selama 10 Tahun. Kini menetap di Bandar Seri Putra, Kajang, Selangor. Saya sekarang merantau ke bumi Anbiya' Mesir untuk menuntut dengan para Ulama'. Mengambil jurusan di Jabatan Syariah & Undang-undang, Kuliah Syariah Islamiah, Uni. Al-Azhar, Kaherah, Mesir. Moga pelaburan yang Ibu & Ayah lakukan ini akan berjaya menjadi saham didunia dan akhirat. InsyaAllah. Perantau di Bumi Allah. Johor - Terengganu - Selangor - Mesir

Followers