Kamu yang saya cari!! Jangan lari!!

KAMU SAYANG ISLAM? MAKA KAMU PERLU TAHU PERANAN BLOGGER MAHASISWA ISLAM



Di dalam membincangkan tentang peranan blogger mahasiswa Islam, kita boleh mengalihkan perspektif perbincangan kepada peranan pendakwah. Ini kerana konteks mahasiswa ialah di bawah kekuatan pemuda Islam, yang sememangnya diwajibkan untuk menyebarkan Islam.

Manakala sebutan “blogger”, ia melihat kepada uslub, atau cara dalam berdakwah. Ya, kadangkala blogger ini banyak masalahnya, dan tidak kurang juga faedahnya. Ia kembali kepada peranan penggunanya.

Hukum penggunaan blogger adalah diharuskan, berdasarkan qias kepada pandangan Syeikh Ali Jum’ah dalam meletakkan harus bagi penggunaan Handphone, Televisyen dan sebagainya. Ia diharuskan pada alat tersebut, tetapi diharamkan disebabkan penyalahgunaannya.

ZAMAN RASULULLAH S.A.W.

1. Pada zaman Nabi Muhammad SAW, para pendakwah menggunakan pelbagai saluran untuk menyampaikan dakwah, termasuk dengan cara penulisan. Contohnya Nabi Muhammad SAW sendiri mengutuskan surat kepada raja-raja luar Tanah Arab untuk memeluk Agama Islam.

Selain itu, pada zaman Nabi Sulaiman lagi, surat telah dihantar kepada Permaisuri Saba’ meminta supaya beliau memeluk Islam. Era penulisan kitab juga telah bermula pada awal zaman sahabat RA, contohnya Saidina Umar al Khattab merupakan orang yang mula-mula menulis tentang Sirah Nabi SAW, yang menceritakan tentang plot hijrah ke Madinah.

Kesimpulannya, sejarah penulisan ini sudah cukup masyhur dalam penyebaran dakwah Islam. Ia adalah salah satu saluran untuk menyampaikan Islam kepada umum. Blog juga adalah salah satu saluran penyampaian Islam ini, yang mesti digunakan oleh Pendakwah Islam masa kini.

PEMUDA HARI INI PEMIMPIN HARI ESOK

2. Mahasiswa adalah barisan pemuda, yang mempunyai kekuatan untuk menggegarkan alam. Apatah lagi mereka dikurniakan kekuatan dan kemahiran yang banyak dalam menyebarkan dakwah melalui saluran ini. Maka, seorang pemuda harus menjadikan blog ini sebagai medan penyampaian dakwah mereka.

Melihat kepada peranan pemuda, sudah cukup untuk menjelaskan kedudukan mereka sebagai blogger Islam, sepertimana pendakwah pada zaman Nabi SAW. Ya, mereka semua adalah dari kalangan golongan muda yang hebat dalam ilmu agama, atau boleh diterjemahkan sebagai mahasiswa Islam. Contohnya,

SAYYIDINA ABU BAKAR AS-SIDDIQ
a. Saidina Abu Bakar as Siddiq adalah seorang yang benar dalam kata-katanya dan dakwahnya. Apa gunanya menipu dengan menggunakan istilah dakwah. Ya, seorang blogger perlu menulis perkara yang benar, tidak menimbulkan fitnah semata-mata untuk “memanas”kan penulisan.

Kononnya hendak menarik pembaca, sanggup membuat fitnah. Tak ketinggalan juga mereka yang sanggup berlembut dalam perkara yang perlu tegas. Contohnya beberapa blogger yang masih “husnuzzon” apabila ulama’ terang-terang dihina dengan karikatur. Ingat, Saidina Abu Bakar RA mengisytiharkan perang kepada Golongan Murtad dan golongan yang tidak bayar zakat.

SAYYIDINA UMAR AL-KHATTAB

b. Saidina Umar RA yang cukup tegas dalam dakwahnya menjadikan aspirasi kepada blogger supaya bertegas dalam perjuangan Islam. Beliau juga hebat dalam mengatur strategi dakwah, juga perlu diaplikasikan oleh blogger supaya pandai dalam mengatur artikel yang ingin disiarkan.

Saidina Umar al Khattab pernah berkata, “sekiranya aku mengerjakan solat di dalam gereja, aku bimbang umat Islam akan datang, akan mengikut apa yang aku lakukan ini”. Lalu, beliau mengerjakan solat di luar gereja sehingga terbinanya Masjid Saidina Umar yang bersebelahan dengan gereja.

Maka, blogger juga perlu bertanya kepada diri sendiri, “tidakkah aku bimbang sekiranya penulisan ini akan dijadikan pegangan oleh pembaca?” Maka, berhati-hatilah dalam penulisan blog.

SAYYIDINA UTHMAN IBNU AFFAN

c. Saidina Uthman RA yang menampilkan penampilan yang lembut juga perlu dijadikan aspirasi oleh blogger mahasiswa Islam dalam menyebarkan dakwah. Pada zaman beliau juga, terhimpunnya al Quran dan dibukukan secara sempurna. Maka, seorang blogger perlu memikirkan bagaimana untuk menjadikan penulisan kita di dalam blog dapat dikekalkan.
Situasi hari ini, orang melihat sebagai “penulisan neutral” adalah yang terbaik. Bahkan penulisan yang bersifat lembut juga yang terbaik. Tetapi malangnya pembaca lebih meminati penulisan yang panas. Maka, gunakanlah penulisan yang lembut untuk mengulas isu yang panas.

SAYYIDINA ALI

d. Saidina Ali RA yang menampilkan watak seorang yang hebat dalam bidang ilmu, juga menjadi aspirasi kepada blogger untuk membawa blognya ke arah perbincangan ilmiah. Beliau juga hebat dalam pemahaman Islam yang sebenar.

KENAPA SAYA KENA MENULIS TENTANG ISLAM, INI KAN BLOG PERIBADI SAYA?

Ya, memang tidak dinafikan ini blog persendirian, tetapi sebagai seorang blogger Islam hendaklah memahamkan manusia tentang Islam yang sebenar, bukannya menimbulkan tanggapan buruk kepada Islam. Contohnya pada hari ini, masyarakat akan memerhati, adakah penulisan di dalam blog ini menampilkan Islam yang sebenar? Atau ia hanya perangai yang dibuat-buat?

KHULAFA' ARRASYIDIN SEBAGAI CONTOH
3. Cukuplah dengan 4 contoh Khulafa’ ar Rasyidin ini untuk menterjemahkan peranan seorang blogger mahasiswa Islam. Di sana begitu banyak peranan blogger mahasiswa Islam yang telah ditonjolkan oleh ulama terdahulu.

4. Selain itu, dipetik di dalam sebuah blog bekas Mahasiswa al Azhar, Ustaz Nasaruddin at Tantawi tentang etika dan adab seorang blogger :

a. Memberi dan menyampaikan maklumat adalah kerja terpuji bagi membina dan membentuk minda para pembaca. Tetapi ianya mestilah dilakukan dengan penuh adab dan etika . Bertanggungjawab dengan tulisan dan amanah dalam meriwayat.

Pertama : Ikhlas , jujur dan suci niat dalam apa jua bentuk tulisan justeru ia diperhati dan dinilai oleh Allah swt sekalipun serapat mana bilik komputer kita dikunci

Kedua : Tulis dan riwayat perkara yang benar . Jangan berbohong atau berdusta . Menyembunyikan fakta sebenar dan menukilkan andaian yang penuh hasad dan dusta . Kerana dosa dan neraka juga boleh menerima seorang penulis blog sebagaimana pahala dan syurga juga boleh menerima mereka . Bergantung bagaimana mereka ber"blog" .

Ketiga : Berbahasa dan berbudi dalam tulisan tentunya menjadikan hasil karya kita lebih bermutu dan meyakinkan . Kebenaran akan ternoda dengan kalimah dan tulisan yang kesat atau celupar dan berbau fitnah .

Keempat : Tulisan yang bertanggungjawab ialah yang diketahui siapa penulisnya . Penulis misteri hanya meletakkan tulisannya setaraf surat layang yang tidak memiliki kredibiliti untuk dipercayai dan diyakini .

Kelima : Penulisan menggambarkan karaktor penulis . Penampilan gaya dan cara penulisan yang tenang, ceria, jelas dan benar akan membawa pembaca merujuk kepada kehebatan peribadi penulis. Lantaran itu, menulislah dengan jiwa yang tenang dan nurani yang suci nescaya tulisan itu akan meresap dengan tenang ke segenap jiwa pembaca dan membawa ketenangan kepada semua.

KAMU BUKAN PENULIS UPAHAN DAN MURAHAN

b. Ramai penulis mutaakhir ini selain terjebak sebagai penulis upahan untuk menjuarai kepentingan tertentu , terdapat juga penulis picisan yang tidak punya matlamat dalam menulis kecuali menabur fitnah dan menyalakan api permusuhan . Mereka langsung tidak memiliki etika penulisan bahkan tiada juga adab dalam menulis .

c. Mereka menulis seolah - olah mereka bebas untuk berbuat apa sahaja tanpa memikirkan implikasi atau risiko yang bakal tercetus gara - gara tulisannya . Mereka hanya mementingkan diri sendiri untuk mencapai sebuah kepuasan yang tidak pasti benar atau salah . Penting bagi mereka ialah puas. Mereka tidak peduli kadang - kadang sahabat handai dan rakan taulan sendiri remuk rendam perasaan angkara tulisannya .

d. Hati-hatilah sahabat sekalian , dalam kita menulis di sana terdapat beberapa perkara yang perlu difikirkan secara mendalam sebelum kita publish sesuatu tulisan itu . Asasnya ialah bertanggungjawab terhadap tulisan tersebut dan ianya bertunjangkan kebenaran fakta dan nas .

e. Berjiwa besarlah justeru tulisan kita akan membentuk persepsi masyarakat terhadap apa jua isu yang kita bawa, jika tulisan yang kita paparkan adalah tulisan yang meyakinkan bukan menjengkelkan. Maka tulislah perkara yang baik nescaya kita akan dapat natijah yang baik .

Pun begitu , sabarlah ! terkadang tulisan yang baik dan benar ini akan diserang oleh musuh dan difitnah atau ditohmah kerana mereka tidak senang dengan kebenaran yang dibawa dan mereka cuba mengheret kita menjadi blogger seperti mereka yang penuh dengan hasad, fitnah, kata - kata kesat dan celupar serta sumpah seranah .

Oleh : Ust Mujahid Ibnu Ir Fadzil

0 komen mengomen :: Kamu yang saya cari!! Jangan lari!!

Introduction

Aku hanya insan biasa yang ingin berkongsi sedikit ilmu dan buah fikiran. "Ballighu anni walau ayat" "wazakkir fainnna zikra tanfaul mukminin" InsyaAllah.

LinkWithin

.

Al-Faqir

My photo
Nama Muhammad Al-Amin Hj Salleh. Dilahirkan di Kluang, Johor. Kemudian dibesarkan di Kulai, Johor sebelum berhijrah ke Kuala Terengganu selama 10 Tahun. Kini menetap di Bandar Seri Putra, Kajang, Selangor. Saya sekarang merantau ke bumi Anbiya' Mesir untuk menuntut dengan para Ulama'. Mengambil jurusan di Jabatan Syariah & Undang-undang, Kuliah Syariah Islamiah, Uni. Al-Azhar, Kaherah, Mesir. Moga pelaburan yang Ibu & Ayah lakukan ini akan berjaya menjadi saham didunia dan akhirat. InsyaAllah. Perantau di Bumi Allah. Johor - Terengganu - Selangor - Mesir

Followers