Ramadhan di Kota Cairo

Petang itu cukup indah, suasana nyaman tidak terlalu panas seperti kebiasaannya. Suhu hari ni mencecah 37'celcius alhamdulillah. Ia kembali menurun bila senja mengetuk pintu kamarnya.. tidak seperti angin tengahari yang begitu garang.

Ada yang dari utara, ada juga yang dari timur. Masing-masing gembira. Semua menjadi ceria. Saling bersalaman dan bersapa mesra. Ada kenalan yang baru ku kenal, ada juga yang sudah lama. Sambil-sambil menunggu waktu berbuka, kami berbual bersama. bertanya khabar dan cerita.

Wah, sungguh indah berpuasa di bumi anbiya'. Namun alangkah lebih bahagia jika dapat berbuka bersama keluarga di hari pertama puasa.

"Allahuakbar!! Allahuakbar!!" teriak si muazzin.

Kami segera menjamah ketupat cinta, buah kurma bersama seteguk air soya. cukup membahagiakan. Benarlah sabda Nabi s.a.w. "Sesungguhnua bagi orang yang berpuasa itu 2 kebahagiaan, pertama ketika berbuka, ke-2 ketika saat bertemu dengan tuhannya."

Alhamdulillah, berlalulah sudah hari pertama bulan tarbiyah. Rasa sedih bercampur gembira. Sedih kerana berlalunya sehari yang penuh barakah dan keampunan. Setiap amalan akan digandakan dengan 10 kali ganda berbanding hari biasa.

Semalam berbalas sms dengan ayahanda dan bonda tercinta. Katanya, ada trip umrah yang bakal menuju kota cairo dalam terdekat. Andai saja ada yang mahu dikirim diminta segera. Alhamdulillah, setiap kali soalan itu diaju, setiap kali itulah aku jadi kelu..

Apa yang hendak dikirim ya? Hmm.. rasa seperti semuanya cukup. Tapi peluang sebegini bukan selalu mendatang. Akhirnya, aku membalas juga sms tersebut, ku khabarkan untuk membawa beberapa keperluan yang jarang ada.

Teringat pula buah durian.. Aduh!! terliur rasa bila teringat buah yang berduri tajam itu. Isinya kekuningan emas. Lagi enak kalau dapat yang pahit sedikit. Kalau dulu, dapat makan sampai berbakul dan demam dibuatnya. Masa disekolah dulu, ust arablah yang paling seronok bila musim durian tiba. Tak berhenti-henti makan, daripada pagi sampai ke malam.

Kami pula yang takut melihatnya, takut-takut ust demam kepanasan makan terlalu banyak durian. Hehe.. Maklumlah, di negara arab mana ada durian. Entah-entah ada yang tak kenal durian itu apa. Mungkin diingat landak agaknya.

"Allahuakbar!!! Allahuakbar!!" teriak muazzin sekali lagi menandakan solat akan didirikan. Kami segera bangkit menuju ke ruang solat. Kami berbuka sekadar sahaja, lepas solat maghrib barulah dihidangkan dengan makanan berat.

Usai solat, kami dihidangkan dengan tazkirah ringkas. Tersentak bila pentazkirah menyebut, "1 Ramadhan sudah berlalu, ada mereka yang gembira kerana hampir kepada hari raya, namun sepatutnya kita orang yang belajar agama, sedih dengan pemergian itu. Hari yang Allah lipat gandakan setiap amalan kita, dan mengampun dosa-dosa kita. Berlalunya hari itu, bermakna berlalunya hari yang cukup bermakna. Belum tentu esok bakal menjadi milik kita."

Allahuakbar.. tazkirah yang cukup menyedarkan.

Usai tazkirah ringkas, jamuan sudah terhidang. Hari ini ada dermawan arab yang sudi menyediakan makanan untuk kami. Daging masak kari, alhamdulillah. sedap.. Betullah, kata senior-senior dan ust-ust bahawa, bulan ramadhan adalah bulan yang paling jimat buat kami semua. Setiap hari pasti ada yang akan menyedekahkan makanan, dan andai bernasib baik mendapat wang tunai.

Sampai ada yang berkata, "Eh, orang arab ni tak takut miskin ke?" Allah... tidakkah orang yang mengatakan itu sedar dia berbicara dengan Allah?

Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Perumpamaan orang-orang yang membelanjakan harta mereka (bersedekah) pada jalan Allah laksana sebiji (benih) yang tumbuh menjadi tujuh tangkai, setiap tangkai ada seratus biji. Dan Allah akan melipatgandakan ganjaran-Nya kepada siapa yang disukai-Nya dan Tuhan itu Maha Luas pemberian-Nya dan Maha Mengetahui." ( Al Baqarah : 261 )

Ayat di atas membuktikan kepada kita kelebihan bersedekah pada jalan Allah SWT. Allah SWT telah mengumpamakan pemberian (sedekah) itu seperti sebiji benih yang akan tumbuh menjadi tujuh tangkai dan setiap tangkai itu pula ada seratus biji.

Kekayaan dan kemiskinan adalah merupakan suatu ujian ke atas diri manusia. Orang yang kaya jika tidak dipandu dengan iman, pasti harta kekayaannya menjadikan dirinya binasa. Orang miskin pula, jika tidak bersabar akan ujian yang menimpa atas dirinya, pasti banyak pula kejahatan-kejahatan yang dilakukan. Contohnya mencuri, merompak dan sebagainya akibat dari desakan hidup. Oleh sebeb itulah Islam menggalakkan umatnya bersedekah. Lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan untuk membantu golongan miskin.

Bersedekah juga merupakan tanda keimanan seseorang Islam kepada Allah SWT kerana dengan bersedekah akan dapat mewujudkan sifat belas kasihan, berkasih sayang dan juga tolong-menolong antara orang kaya dengan orang miskin. Dengan jalan bersedekah, sekurang-kurangnya akan mengingatkan orang kaya tentang kesusahan dan akan dapat menggembirakan hati orang miskin. Akhirnya akan wujud suasana kasih sayang, belas kasihan dan tolong-menolong. Orang kaya dan miskin pula akan saling mendoakan bagi kebaikan antara mereka.

Imam Nawawi mengatakan bukti kukuhnya iman ialah dengan bersedekah kerana biasanya orang munafik boleh bersembahyang, tetapi tidak mudah untuk bersedekah.

Seringkali kita mendengar daripada mereka-mereka yang balik daripada menunaikan umrah di bulan ramadhan. Pasti cerita-cerita seperti ini akan kita dengar daripada mereka. "Seronoknya puasa di tanah haram, boleh bersolat depan kaabah, dan berqiamulail disana." dan pasti tidak ketinggalan akan mengisahkan kepada kita tentang kedermawanan hati orang arab bila ramadhan menjelma.

Segala perusahaan dan perniagaan ditutup selama sebulan, tetapi perbelanjaan untuk bersedekah dikeluarkan tidak putus-putus. Sampai ada yang pelik dan kagum melihatnya. Lalu ada diantara syeikh-syeikh kaya ini berkata, "Kami sudah berniaga dan untung 11 bulan dan berniaga dengan manusia, biarlah sebulan yang istimewa ini kami berniaga pula dengan Allah subhanahuwataala."

Orang arab memang menanti-nanti bulan yang penuh barakah ini untuk menderma sebanyak-banyaknya, kerana mereka sedar akan kelebihan ganjaran yang Allah taala berikan.

Namun berbeza dengan kita yang lebih suka menunggu untuk disedekahkan. Bukankah tangan yang diatas itu lebih baik daripada tangan yang dibawah?


0 komen mengomen :: Ramadhan di Kota Cairo

Introduction

Aku hanya insan biasa yang ingin berkongsi sedikit ilmu dan buah fikiran. "Ballighu anni walau ayat" "wazakkir fainnna zikra tanfaul mukminin" InsyaAllah.

LinkWithin

.

Al-Faqir

My photo
Nama Muhammad Al-Amin Hj Salleh. Dilahirkan di Kluang, Johor. Kemudian dibesarkan di Kulai, Johor sebelum berhijrah ke Kuala Terengganu selama 10 Tahun. Kini menetap di Bandar Seri Putra, Kajang, Selangor. Saya sekarang merantau ke bumi Anbiya' Mesir untuk menuntut dengan para Ulama'. Mengambil jurusan di Jabatan Syariah & Undang-undang, Kuliah Syariah Islamiah, Uni. Al-Azhar, Kaherah, Mesir. Moga pelaburan yang Ibu & Ayah lakukan ini akan berjaya menjadi saham didunia dan akhirat. InsyaAllah. Perantau di Bumi Allah. Johor - Terengganu - Selangor - Mesir

Followers